KAPIT 7 Feb. – Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kapit, di sini, bimbang dengan masalah pelajar tingkatan satu yang gagal menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).
Pada tahun lepas, jumlah pelajarnya yang gagal 3M ialah kira-kira 20 orang namun, pada tahun ini, angkanya meningkat kepada 30 orang.
Pengetuanya, Manggie Nyegang ketika mendedahkan masalah tersebut melahirkan rasa terkilan kerana ia memberi tekanan dan beban berlebihan kepada para guru.
Katanya, masalah itu menjadi satu cabaran besar kepada para guru untuk mengajar manakala pelajar terbabit pula berisiko ketinggalan dalam sukatan pelajaran.
“Saya hairan, bagaimana mereka boleh lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) jika tidak dapat membaca dan menulis.
“Selain pihak sekolah, pihak yang berwajib (Kementerian Pelajaran) harus mengambil berat masalah ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak membebankan dan menjejaskan prestasi,” katanya.
Manggie berucap demikian pada Mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Serbaguna sekolah terbabit, petang semalam.
Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan SMK Kapit kini berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga pengajar.
Sedangkan katanya, ramai graduan yang berkelayakan dari bahagian itu yang boleh mengisi kekosongan terbabit namun, tidak diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Apa yang menghairankan saya, kita dimaklumkan sebanyak 16 graduan tempatan lepasan Pendidikan masih menganggur.
“Sekurang-kurangnya kita boleh mengambil mereka bekerja sebagai guru sementara untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru terutama di SMK Kapit,” katanya.
SMK Kapit mempunyai lebih daripada 2,100 orang pelajar tingkatan satu hingga enam dan sepatutnya mempunyai kuota sebanyak 140 orang tenaga pengajar.
Utusan Malaysia Online: 8 Februari 2012
1 ulasan:
exUPSR yang lulus tetapi gagal menguasai 3M semestinya ada tangan ghaib...yang membolehkan mereka lulus
Sedihnya guru-guru SMK yang menenggung beban...dari mereka yang melepaskan batuk ditangga...je
Catat Ulasan