SAYA ingin mendedahkan beberapa masalah pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) berkenaan kerenah birokrasi. Teguran ini terpaksa dibuat secara terbuka kerana teguran dalaman tidak berkesan.
Saya salah seorang pensyarah IPG yang telah 15 tahun berkhidmat. Saya dapati terlalu banyak kerenah diamalkan. Amalan kerja tidak berperancangan, tidak mengikut prosedur atau peraturan, tergesa-gesa, dan sebagainya yang diamalkan semasa IPG di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) masih menjadi amalan oleh pegawai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK).
Walaupun IPGK dinaikkan ke taraf universiti, amalan mementingkan populariti, urusan remeh-temeh, kerenah birokrasi terus menjadi tonggak pentadbiran.
Setiap aktiviti perlu dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah, sedangkan aktiviti itu tiada kaitan. Ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan tenaga. Pelajar yang tidak hadir akan dileteri dan pensyarah pula diminta beri surat tunjuk sebab.
IPGK juga kerap menganjurkan perhimpunan dan setiap perhimpunan itu wajib dihadiri oleh pelajar dan pensyarah. Kerap kali terjadi perhimpunan diadakan sehingga dua atau tiga kali sehari. Akibatnya, sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibatalkan.
Sepanjang pemerhatian saya, pihak pentadbir IPGK tidak mengutamakan akademik baik aktiviti pelajar mahupun pensyarah, dan kepakaran bidang. Jika anda membuat kajian, anda akan temui pensyarah yang pakar dalam Jabatan A ditempatkan atau disuruh mengajar di Jabatan B. Akibatnya, pelajar akan menjadi mangsa kerana pensyarah berkenaan tidak dapat menyampaikan ilmu dengan baik.
Di samping itu, pensyarah IPGK juga dibebankan dengan urusan birokrasi daripada IPGM. Misalnya, bebanan tugas pengurusan pihak pentadbir atau mengisi maklumat sama dalam pelbagai borang.
Satu hal yang malang ialah sikap pentadbir IPGK dan IPGM yang tidak mempedulikan kebajikan pensyarah. Misalnya, semua pensyarah dilonggokkan dalam satu bilik dengan meja kerja yang kecil dan kemudahan yang terhad.
Di situlah tempat pensyarah bekerja dan menyimpan tugasan pelajar. Kalau anda mengunjungi bilik kerja pensyarah, suasananya tidak ubah seperti stor tempat menyimpan barangan terpakai.
Semoga teguran ini diterima dan mendapat maklum balas sesuai dengan cita-cita IPG mahu bertaraf dunia.
Utusan Malaysia Online: 1 Februari 2012
2 ulasan:
Alahai...ingat ka kat sekolah je macam ni....kat IPG pun sama jugak ke?.....pendidikan bertaraf dunia...beb....
ipgk naik taraf hanya pada nama shj wpun sebebnarnya dr segi perlaksanaan itu lebih penting. Bagaimana nak berubah jika pihak pentadbiran tiada reformasi pemikiran dalam corak pengurusan mereka sebaliknya membawa budaya sekolah ke IPG kerana ada di kalangan pengarah or timbalan pengarah yang tiada back ground pensyarah di IPG sendiri jadi bagaimana mrk nak menyelami dan memahami kerja pensyarah di IPG?Jika pengarah yang dilantik adalah dari golongan yang BENAR2 berpendidikan tinggi hal2 birokrasi pasti dapat ditangani krn mrk tidak bertindak mengikut emosi sebaliknya secara profesional... Ada IPGK yang bukan shj ada perhimpunan tiap2 bulan malah pensyarah2 diarahkan bertugas dan menulis laporan padahal IPGK ada penyelia asrama, penyelia blok namun pensyarah juga yang pentadbir nampak utk diberi tugas, pendek kata tiada lonjakan paradigma jika hanya menukar maktab kepada IPGK... gah pada nama sahaja.
Catat Ulasan