Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
2012/02/05
MUHYIDDIN membakar sate jualan Maznani Ahmad di Pasar Malam Taman Medan Baru, semalam. Beliau meluangkan masa melawat peniaga di tapak itu sempena program turun padang ‘Sepetang Bersama TPM’ anjuran UMNO dan Barisan Nasional Petaling Jaya.
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan mengenai cadangan memberi pengecualian cukai kepada penyumbang dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Ketika ini, sumbangan itu tidak menerima pengecualian cukai,” katanya pada sidang media selepas bertemu warga pendidik, pesara guru dan pengerusi PIBG seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay.
Perkara itu dicadangkan seorang wakil PIBG pada sesi dialog selama 15 minit mengenai sistem pendidikan negara.
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan peruntukan kementerian RM9.2 juta kepada tabung PIBG semua sekolah dan sekolah agama rakyat di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin meminta PIBG lebih komited membantu meningkatkan prestasi persekolahan di negeri berkenaan.
Muhyiddin memberi contoh, ketika lawatannya ke sebuah sekolah di Australia sebelum ini, beliau kagum apabila melihat ibu bapa pelajar melakukan kerja sukarela termasuk menjadi pembantu jurulatih kepada aktiviti sukan di sekolah berkenaan.
“PIBG berperanan dalam memberi komitmen yang lebih bagi memastikan prestasi sekolah terus meningkat dari tahun ke tahun. Ia terbukti apabila prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Selangor meningkat pada 2011 berbanding 2010.
“Saya percaya, kejayaan ini sedikit sebanyak adalah hasil usaha PIBG di negeri ini yang begitu komited,” katanya.
Ditanya tindakan kerajaan negeri mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, katanya, beliau kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab itu hanya atas alasan mahu mencairkan aset dan mengaut keuntungan.
“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun diruntuhkan? Tak dengar pula nak diganti di mana.
“Dia (kerajaan negeri) kata nak diagihkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan. Kalau roboh bina baru tak apa tapi tak ada pun dengar begitu.
“Bagi saya ia satu perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan menyayat hati ramai rakyat Selangor,” katanya.
Berita Harian Online: 5 Februari 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan