Khamis, 16 Februari 2012

Institusi Pendidikan Tenang terbiar


Roslan Mohamed menunjukkan jeriji dan cermin tingkap yang dirosakkan oleh penceroboh di kompleks Institusi Pendidikan Tenang. Labis, baru-baru ini.


LABIS 15 Feb. - Entah mana silapnya, hanya dua daripada 40 unit rumah di kompleks Institusi Pendidikan Tenang, dekat sini didiami penghuni.

Kompleks lima blok bangunan yang menempatkan lapan unit rumah itu kosong dan tidak dimanfaatkan golongan sasar meskipun terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin di sini.

Dibina sejak lapan tahun lalu, unit kediaman dengan tiga bilik ini gagal menarik golongan pendidik menggunakannya sehingga menyebabkan ia menjadi sasaran pencuri dan vandalisme, walaupun kelihatan dijaga rapi jika dipandang dari luar.

Tinjauan yang dibuat baru-baru ini mendapati, kebersihan persekitaran dijaga tetapi banyak kemudahan seperti perabot, cermin tingkap, besi jeriji, sinki dan kepingan logam tembaga pendawaian elektrik dicuri di samping keadaan dalam bangunan tidak terurus dan dipenuhi sampah.

Jubin lantai yang dipasang juga banyak pecah dan tertanggal selain kesan diceroboh masuk pada pintu dan tingkap.

Beberapa kelengkapan elektrik seperti kipas angin, lampu dan suis dicuri manakala pondok pengawal keselamatan turut menjadi mangsa vandalisme.

Keretakan di bawah bangunan di salah sebuah blok kediaman juga mengundang keraguan mengenai tahap keselamatan dan kebanyakan lampu yang tidak berfungsi menimbulkan kebimbangan kepada penduduk pada waktu malam.

Bayangkan hanya ada seorang tukang kebun yang ditugaskan menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan kompleks tersebut.

Ini sekali gus memudahkan pihak tidak bertanggungjawab memasuki premis dan mencuri atau merosakkan kemudahan yang ada.

Antara faktor kompleks ini dipandang sepi adalah kerana bekalan air yang tidak mencukupi selain penghuni terpaksa menanggung kos tambahan untuk mengepam bekalan air dari rumah pam ke tangki setiap blok.

Selain itu, harga rumah sewa yang lebih rendah berbanding pemotongan elaun perumahan yang dikenakan sekiranya menduduki kompleks tersebut.

Sehubungan itu, pihak yang berwajib digesa untuk membaik pulih segala kerosakan dan mengekang perbuatan mencuri dan merosakkan kemudahan yang tersedia bagi mengelakkan ia terus menjadi projek gajah putih.

Utusan Malaysia Online: 16 Februari 2012

Tiada ulasan: