mohamad@hmetro.com.my
JITRA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bercadang menghantar guru tempatan ke luar negara bagi mengikuti program penguasaan Bahasa Inggeris bagi memantapkan sistem pendidikan negara.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu, baru-baru ini.
“Perdana Menteri pada dasarnya bersetuju menghantar guru kita ke luar negara bagi menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik. “Kita kena kaji dulu perkara ini... mungkin kita lihat dasar sistem dulu di mana kita pernah menghantar guru kita ke sebuah kolej di London untuk menguasai Bahasa Inggeris. “Saya tengah fikirkan perkara itu kerana membabitkan kos tinggi atau tidak,” katanya pada sesi dialog di Majlis Pemantapan Profesionalisme bersama 4,000 warga pendidik Kedah dan Perlis, di sini, semalam.
Hadir sama isterinya, Puan Sri Norainee Abd Rahman; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipa.
Muhyiddin berkata, jika cadangan itu dipersetujui, ia dapat membantu guru di negara ini meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
“Sekiranya guru kita belajar di sana, sekurang-kurangnya mereka dapat didedahkan dengan situasi dan persekitaran di negara berkenaan.
“Guru kita akan lebih terdidik dan fasih berbahasa Inggeris, malah guru kita lebih berkeyakinan mengajar Bahasa Inggeris di sekolah nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan mengambil berat kebajikan warga pendidik terutama dalam kenaikan gred dan elaun guru yang tertangguh.
“Kerajaan tidak pernah mengabaikan profesion perguruan. Malah saya pernah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya diberi perhatian.
“Kalau ada sebarang tuntutan yang munasabah... jangan ambil masa lama. Kena jaga kebajikan guru.
“Sebab itu, dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), saya minta Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman turut beri perhatian kepada guru,” katanya.
myMetro: 15 Februari 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan