Khamis, 2 Februari 2012

Tak perlu beri elaun

PUTRAJAYA: “Tak perlu beri elaun bulanan kalau nak tarik minat pelajar,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud mengulas mengenai cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) supaya kerajaan memberi elaun bulanan kepada pelajar aliran sains di sekolah bagi menarik lebih ramai meminati bidang itu.

Katanya, ini berikutan banyak pendekatan lain boleh digunakan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar memilih aliran sains di sekolah. “Malah, kerajaan juga ada pendekatan sendiri untuk mengurangkan jurang perbezaan bilangan antara pelajar aliran sains dan sastera di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT). “Ini termasuk Dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat sekolah dan IPT bagi mengurangkan jurang perbezaan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Sebelum ini, MPN memencadangkan supaya kerajaan memberi elaun bulanan kepada pelajar aliran sains di sekolah bagi menarik lebih ramai pelajar memilih bidang itu. MPN juga menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menambah bilangan biasiswa untuk mereka yang mengikuti bidang sains di institut pengajian tinggi (IPT) supaya lebih ramai yang berminat mengikuti jurusan itu.


Cadangan penuh menerusi Kluster Sains dan Matematik MPN itu dikemukakan memandangkan hanya 20 peratus pelajar sains di sekolah berbanding sasaran 60 peratus.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, pendekatan lain seperti memberi pendedahan awal mengenai peluang kerjaya dan manfaat diperolehi daripada ilmu yang dipelajari boleh menggalakkan pelajar memilih jurusan sains.

myMetro: 2 Februari 2012

Tiada ulasan: