Jumaat, 25 Julai 2008

Ambil peluang jadi guru berilmu

KEPRIHATINAN kerajaan terhadap usaha membangun dan memartabatkan bidang perguruan menerusi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sewajarnya diambil kesempatan oleh seluruh warga pendidik.

Menerusi Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGRS) itu, kira-kira 15,000 orang guru berpeluang meningkatkan tahap keilmuan di samping memperbaiki pencapaian akademik khususnya dalam perjawatan di sekolah sesuai dengan khidmat yang telah diberi.

Guru merupakan ibu bapa kedua yang berperanan penting bagi mencorak masa depan pelajar. Sikap proaktif, berdaya saing dan bersemangat kental dalam melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan berketerampilan perlu menjadi amalan dan budaya hidup seorang pendidik.

Hanya guru versatil dan berilmu sahaja akan dapat menghasilkan generasi pelajar berkualiti, iaitu yang mampu mencipta kelainan, memberi sumbangan bermakna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pendidik yang dedikasi bukan sahaja menjalankan tugasnya dengan berkesan malah sentiasa mencari jalan menambah ilmu dan kemahirannya untuk meningkatkan kecekapan dalam pengajaran dan peka terhadap perkembangan profesionnya di samping tidak mengabaikan tugas sosial terhadap masyarakat.

Ciri-ciri kecemerlangan itu juga akan menuntut seseorang guru peka kepada kemajuan sains dan teknologi serta perkembangan dalam bidang pendidikan supaya dapat dimanfaatkannya dalam proses pengajarannya kelak.

BerkualitiTanggungjawab besar para guru dalam melaksanakan agenda penting negara iaitu membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia yang mampu menjana modal insan secara menyeluruh, bukan sahaja penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi turut menekankan aspek nilai, moral, etika serta jati diri.

Guru juga perlu sentiasa peka dan bersedia melakukan reformasi diri pada alaf ini dan akan datang.

Pelbagai disiplin ilmu bantu perlu diterokai dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, bukan setakat meningkatkan profesionalisme kerja, tetapi juga untuk mempelbagaikan metod dan kreativiti di bilik darjah.

Memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu, bertakwa dan berakhlak selaras dengan falsafah pendidikan negara, jasa guru juga ditagih dalam meletakkan mutu pendidikan negara ke tahap pencapaian yang setanding dengan negara maju.

Pendidik yang dedikasi bukan sahaja menjalankan tugasnya dengan berkesan malah sentiasa mencari jalan menambah ilmu dan kemahirannya untuk meningkatkan kecekapan dalam pengajaran dan peka terhadap perkembangan profesionnya.

Hanya guru-guru dedikasi yang mengambil berat tentang pelajar-pelajarnya dapat memberikan sumbangan menjadikan negara kita sebagai sebuah negara bangsa yang kaya dengan tradisi intelek, cemerlang dalam bidang sosioekonomi dan budaya serta mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Sekiranya muhasabah diri terhadap beberapa peranan di atas dicanai dengan penuh sifat jujur dan ikhlas, sudah pasti visi dan misi pendidikan negara pasti akan dapat dijayakan dengan cemerlang.

Keutuhan peribadi, luas pengetahuan, kreatif dan berkemahiran, bijak berkomunikasi, kerja berkualiti dan prestasi yang tidak pernah statik akan menjadikan seluruh warga guru Malaysia sebagai pendidik cemerlang yang mampu menjana generasi modal insan yang gemilang.

Utusan Malaysia Online: 24 Julai 2008

Tiada ulasan: