Khamis, 17 Julai 2008

Kluster sekolah angkat IPTA

Oleh Syuhada Choo Abdullah

bhnews@bharian.com.my


Program pemuafakatan dua kementerian manfaat kerjasama penyelidikan

KUALA LUMPUR: Sekolah kluster akan menjadi sekolah angkat semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pelaksanaan program pemuafakatan antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata IPTA akan berperanan sebagai mentor kepada sekolah kluster berdasarkan bidang kebitaraan dan akses.

Katanya, konsep rangkaian serta kerjasama strategik itu, antara lain membolehkan pihak sekolah mengguna kemudahan penyelidikan di universiti, malah mewujudkan kerjasama penyelidikan antara pensyarah IPTA dan guru.

Selain itu, beliau berkata, guru dan pelajar sekolah angkat terbabit juga berpeluang menggunakan kemudahan sukan serta perpustakaan di universiti.

"Guru dan pelajar turut ditempatkan dalam program akademik di universiti seperti kemahiran insaniah serta keusahawanan, manakala pensyarah dan penuntut universiti pula menjayakan program khas persekolahan, termasuk ceramah kaunseling, bimbingan peperiksaan dan motivasi.

"Usaha ini juga termasuk membina sinergi projek kemasyarakatan bersama IPTA dan sekolah, serta pembabitan pelajar dalam program pengantarabangsaan universiti," katanya ketika dihubungi semalam.

Noor Rezan berkata, pendedahan itu memberi persediaan awal dari segi budaya, norma dan watak universiti kepada pelajar, sekali gus mendorong mereka memasuki institusi pengajian tinggi.

Berita Harian Online: 17 Julai 2008

Tiada ulasan: