Rabu, 23 Julai 2008

Selatan: Guru hidap buah pinggang perlu bantuan

Oleh Sahlina Sahkirin

bhnews@bharian.com.my


PERLU BANTUAN: Mohd Razuddin menjalani rawatan pembersihan darah di Pusat Haemodialisis Hospital Mersing.

MERSING: Harapan seorang guru, Mohd Razuddin Zulkifli, 29, untuk mencurah bakti mendidik dan membimbing pelajarnya mungkin hanya tinggal impian jika gagal menjalani pembedahan merawat penyakit buah pinggang yang ditanggungnya sejak tiga tahun lalu.

Sebelum menghidap penyakit berkenaan, beliau adalah guru yang aktif dalam kurikulum dan kokurikulum di sekolahnya, di bandar ini.

Mohd Razuddin berkata, pada peringkat permulaan, dia mengalami masalah buang air kecil berdarah dan pengsan beberapa jam.

“Saya menjalani pemeriksaan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi mengesan penyakit yang saya hidapi. Selepas pelbagai ujian, doktor menyatakan penyakit saya berpunca akibat kerosakan buah pinggang,” katanya ketika ditemui Pusat Haemodialisis Hospital Mersing, baru-baru ini.

Mohd Razuddin berkata, setiap bulan beliau terpaksa berulang alik dua belas kali ke pusat haemodialisis berkenaan bagi menjalani pembersihan darah untuk buah pinggangnya dengan setiap kali rawatan mengambil masa tiga jam.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat menjalankan tugas seperti guru lain kerana terpaksa menghabiskan banyak masa di hospital, termasuk menemui pakar di HSA Johor Bahru, lapan hingga sepuluh kali dalam sebulan.

Beliau berkata, pakar yang merawatnya menasihatkan beliau menjalani pembedahan di luar negara dengan kos sehingga RM120,000.

“Saya tidak mampu membiayai kos ini. Oleh itu, saya merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan saya menjalani pembedahan dengan segera”, katanya

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghantarkan cek kepada Berita Harian dengan meletakkan nama pesakit di belakang cek dan dihantar kepada Unit Kebajikan dan Kewangan The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 23 Julai 2008

Tiada ulasan: