Sabtu, 19 Julai 2008

Bela nasib guru Sekolah Agama Rakyat

SAYA pernah bertugas di salah sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri Johor hampir 15 tahun sebelum membuat keputusan untuk mengambil diploma pendidikan dan memohon menjadi guru di sekolah kerajaan.

Walaupun berat hati meninggalkan SAR sejak setahun lalu, namun demi masa depan lebih baik saya terpaksa melakukannya. Jika diikutkan perasaan sayang kepada SAR yang pelajar-pelajarnya seagama dan sebangsa dengan saya, tidak sanggup saya meninggalkan tanggungjawab untuk membangunkannya.

Bayangkanlah setelah tamat pengajian di universiti, saya terus mengajar di sekolah tersebut sehingga hampir 15 tahun tetapi gaji yang diterima masih lebih rendah daripada gaji guru yang baru mengajar di sekolah kerajaan.

Setelah mengambil diploma pendidikan, gaji dapatlah dinaikkan sebanyak beberapa puluh ringgit. Saya bukan ingin mengungkit kisah lama tetapi ingin mengajak pihak berwajib merenung dan memikirkan nasib anak bangsa sendiri yang masih terabai.

Tanggungjawab seorang guru yang mengajar di SAR tiada batasan. Ini disebabkan oleh kekurangan guru dan kakitangan. Seorang guru SAR boleh memegang jawatan dalam pentadbiran sekolah sebagai guru penolong kanan, guru kaunseling, guru disiplin, ketua bidang atau guru pusat sumber pada masa yang sama.

Mereka juga memikul tanggungjawab sebagai guru penasihat rumah sukan, jurulatih pertandingan-pertandingan dan menghantar pelajar untuk menyertai sebarang acara yang dianjurkan di peringkat negeri oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).

JAJ yang menaungi SAR memang murah hati dalam menganjurkan kursus-kursus yang menunjukkan seolah-olah sangat prihatin untuk meningkatkan prestasi guru-guru SAR. Namun pada masa yang sama, jabatan itu tidak mempedulikan elaun perjalanan dan kebajikan guru yang hendak mengikuti kursus tersebut. Kadang kala terasa cemburu dan malu apabila menghadiri jemputan kursus bersama guru-guru sekolah kerajaan.

Mereka bukan sahaja diberi gaji yang lumayan sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan, elaun perjalanan turut diberi untuk mengikuti sesuatu kursus. Itu tidak termasuk kelebihan mempunyai pencen dan elaun-elaun lain yang memang tidak dapat dirasai oleh guru SAR.

Dulu memang guru-guru SAR mampu bertahan dengan gaji yang kecil, tetapi kini segala-galanya memerlukan wang.

Kementerian Pelajaran juga sudi memberi bantuan modal melalui pendaftaran SAR sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) melalui beberapa syarat yang tidak langsung menjejaskan sukatan al-Azhar.

Antaranya, SAR mesti mengekalkan dwi-kurikulum (kurikulum KP dan kurikulum al-Azhar). Selain itu, JAJ masih bertanggungjawab dalam soal pengambilan dan pembayaran gaji guru-guru yang mengajar subjek al-Azhar.

Oleh itu, dakwaan JAJ bahawa pendaftaran SAR sebagai SABK bakal menghapuskan sukatan al-Azhar adalah dakwaan yang tidak berasas sama sekali sedangkan kewujudan sukatan al-Azhar sendiri menjadi prasyarat pendaftaran SAR sebagai SABK.

Keprihatian kerajaan mewujudkan SABK mencerminkan keseriusan dalam menjaga kebajikan warga SAR namun tindakan JAJ yang keberatan untuk menerimanya memberi gambaran sebaliknya.

Ibu bapa yang melihat kedaifan SAR Johor menganggap solah-olah kerajaan tidak membantu SAR. Ini memberi persepsi buruk ibu bapa terhadap kerajaan sedangkan perkara yang sebenar tidaklah seperti yang mereka sangkakan.

Sejak tahun 2005, SABK di Johor telah diwar-warkan. Sudah banyak kali maklumat-maklumat guru telah diminta oleh JAJ kononnya untuk pendaftaran sebagai SABK.

Ramai guru yang telah jemu mendengarnya dan ada di antara guru yang memperjuangkan SAR pun telah meninggal dunia. Di antara tahun 2006 hingga 2008, statistik menunjukkan lebih 40 orang guru SAR Johor telah diterima mengajar di sekolah kerajaan.

Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang di antara mereka. Bagi guru-guru SAR yang tinggal teruskanlah perjuangan anda selagi termampu. Jangan terlalu berharap pembelaan daripada JAJ.

BEKAS GURU SAR

Johor

Utusan Malaysia: 18 Julai 2008

Tiada ulasan: