Jumaat, 11 Julai 2008

Johor: Pesara guru tauke minyak angin

Oleh Mohd Zin Ali


BANGGA: Syed Mustaffa (kanan) bersama minyak angin Afrikaans keluaran kilangnya di Taman Mount Austin.

Produk dilulus Kementerian Kesihatan beri hasil RM15,000 sebulan

JOHOR BAHRU: Mengalah tidak pernah ada dalam kamus hidup seorang pesara guru besar, Syed Mustaffa Syed Sulong, 72, yang mengusahakan minyak angin, Afrikaans, walaupun permohonan pinjamannya pernah ditolak Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) lebih 10 tahun lalu.

Kegigihan untuk meneruskan perniagaan akhirnya memberi ilham kepada Syed Mustaffa untuk menyelesaikan kebuntuannya dengan mengadakan kerjasama menjalankan pengilangan kontrak dengan syarikat yang sudah mempunyai kilang dengan Amalan Pengilang Baik (GMP) sejak tiga tahun lalu.

Usaha berkenaan bukan saja membolehkan syarikatnya, Toko Al Sagoff, mendapat kelulusan MAL dari Kementerian Kesihatan tetapi juga membantu meningkatkan pasaran jualan produk minyak anginnya sehingga kini bernilai kira-kira RM15,000 sebulan.

Syed Mustaffa berkata, permohonan kepada PUNB dibuat untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM300,000 selepas Kementerian Kesihatan mensyaratkan kilangnya di Taman Mount Austin yang dibeli pada RM230,000 pada 1993 perlu mengamalkan GMP untuk mendapatkan kelulusan MAL.

Beliau berkata, selepas mengikuti beberapa tahap temu duga dengan PUNB, beliau kemudiannya dikecewakan PUNB pada 1995 yang mendakwa hanya berminat membantu industri berteknologi tinggi manakala beliau dikatakan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Suntikan modal tambahan itu diperlukan untuk mengubahsuai kilang yang memerlukan perbelanjaan dianggarkan lebih RM250,000.

"Tanpa bantuan pinjaman itu, saya terpaksa berdepan dengan kesulitan sehingga akhirnya terpaksa menjual kilang yang dimiliki pada 1996," katanya ketika ditemui di Taman Sri Tebrau di sini, semalam.

Syed Mustaffa berkata, perniagaan minyak angin Afrikaans yang dibelinya daripada seorang rakan pada harga RM30,000 pada 1992 itu akhirnya terpaksa berpindah operasi di sebuah kedai di Taman Molek pada 1997.

"Kini, saya bersyukur perniagaan untuk mengisi masa tua ini bukan saja berjalan dengan baik serta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai," katanya.

Syed Mustaffa berkata, minyak angin Afrikaans yang sudah ada di pasaran sejak 1977 itu kini mendapat sambutan daripada orang ramai yang mengakui minyak yang diformulasi oleh pengamal perubatan tradisional di Bali, Indonesia pada 1955 mampu meredakan banyak penyakit.

Beliau berkata, minyak angin yang kini dipasarkan di negeri ini, Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu dan kebanyakan Felda di seluruh negara itu dikatakan berkhasiat rawat beberapa penyakit.

Berita harian Online: 11 Julai 2008

1 ulasan:

AZMan berkata...

Assalamualaikum
Syed mustapha bun sulong telah kembali kerahmatullah saya adalh anak saudara beliau sama2 berjuang menjual produk ini keseluruh negara sambutan amat menggalakkan