Ahad, 20 Julai 2008

HFMD: Pemantauan sekolah seluruh negara

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kementerian Pelajaran akan meneruskan pemantauan di setiap sekolah di seluruh negara bagi memastikan ia bebas penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, pemantauan perlu bagi menjamin kebersihan setiap sekolah di negara ini di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih sihat.

''Pemantauan tersebut merupakan satu perkara rutin yang dilakukan pihak kementerian tetapi kita akan melakukan tinjauan dengan lebih terperinci di setiap sekolah di seluruh negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Pertandingan Bola Sepak Piala Sultan Azlan Shah antara Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan Kolej Melayu Kuala Kangsar di sini hari ini.

Mengulas mengenai penyakit HFMD di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 (SK TTDI 1), beliau berkata, penyakit tersebut dipercayai bukan berpunca daripada sekolah tersebut sebaliknya melalui luar kawasan sekolah berkenaan.

''Setelah siasatan dijalankan terhadap SK TTDI 1 mendapati ia berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada penyakit berkenaan,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, pada masa ini tiada laporan diterima mengenai penyakit tersebut di sekolah lain di sekitarnya.

''Kami juga sudah menerima laporan daripada semua Jabatan Pelajaran di seluruh negara dan mendapati semua bersih dan bebas daripada penyakit,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua pelajar di SK TTDI 1 tidak mengambil kesempatan untuk ponteng sekolah pada Isnin ini kerana sekolah tersebut adalah selamat dan boleh beroperasi seperti biasa.

Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2008

Tiada ulasan: