Sabtu, 5 Julai 2008

Sabah & Sarawak: Kesatuan guru sokong gaji sekali sebulan

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyifatkan keputusan pembayaran gaji kakitangan awam diteruskan seperti biasa dan bukan dua kali sebulan, mulai bulan depan seperti yang diumumkan sebelum ini, sebagai tepat.

Presidennya William Ghani Bina, berkata ini kerana langkah memperkenalkan pembayaran gaji kakitangan awam dua kali sebulan, ketika negara sedang berhadapan dengan penstrukturan semula subsidi minyak dan barangan keperluan akan menjadikan mereka semakin tertekan, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Kaedah itu boleh dilaksanakan apabila keadaan ekonomi negara sudah stabil serta kukuh dan kakitangan awam sudah diberi penjelasan tetapi bukan sekarang

"Kita berharap keputusan itu kekal sehingga keadaan ekonomi kukuh," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan kelmarin, yang berkata pembayaran gaji kakitangan awam diteruskan seperti biasa dan bukan dua kali sebulan mulai bulan depan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Mohd Sidek berkata ,perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya keputusan kerajaan untuk membayar gaji dua kali sebulan bagi memudahkan penjawat awam dalam menguruskan perbelanjaan mereka, tidak akan diteruskan.

Sebelum ini ketika menyokong keputusan kerajaan membuat pembayaran gaji dua kali sebulan, Ghani berkata STU bersetuju dengan langkah itu namun mahu pembayaran gaji dua minggu pertama hanya 30 peratus dan 70 peratus lagi hujung bulan.

Beliau berkata, kalau kaedah itu tidak sesuai, semuan potongan bayaran pinjaman kakitangan dengan kerajaan dibuat pada pembayaran gaji dua minggu pertama dan pinjaman dengan pihak swasta seperti bank pula dibuat pada dua minggu kedua.

"STU percaya langkah ini lebih sesuai kerana pembayaran gaji dua kali sebulan masing-masing 50 peratus pada dua minggu dan 50 peratus lagi hujung bulan akan menyusahkan mereka yang mempunyai banyak pinjaman," katanya.

Mengenai kenaikan harga bahan api di negara sejak awal bulan lalu, Ghani berkata STU mahu kerajaan menghambil langkah terbaik untuk membantu kalangan guru yang tidak ada pilihan kerana terpaksa mengajar di sekolah yang jauh dari rumah kediaman.

Beliau berkata kerana sejak kenaikan harga bahan api awal bulan lalu, ramai kalangan guru yang mengajar di sekolah yang juah daripada rumah kediaman terpaksa menanggung kos pengangkutan yang melonjak tinggi berbanding sebelum ini.

"Sebagai contoh, ada beberapa guru yang tinggal di kampung-kampung dan taman perumahan di bandaraya ini yang mengajar di Bau, Samarahan dan Serian terpaksa berulang alik setiap hari dan kos minyak terlalu tinggi berbanding sebelum ini," katanya.

Ghani berkata kerajaan perlu menyediakan rebet atau kupon kepada mereka yang mengajar jauh dari kediaman.

Beliau juga berkata Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), boleh mengatasi masalah itu tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.

"Caranya ialah mempertimbangkan permohonan guru-guru terbabit untuk berpindah ke sekolah lebih dekat dengan kediaman mereka atau melalui program tukar suka sama suka," katanya.

Berita Harian Online: 4 Julai 2008

Tiada ulasan: