Ahad, 27 Julai 2008

JPA luluskan jawatan Pegawai Pendidikan di penjara

KLUANG 26 Julai - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG48 untuk ditempatkan di Jabatan Penjara.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, turut diluluskan Mac lalu adalah dua jawatan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG44 dan 99 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 bergelar guru di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

Menurutnya, satu jawatan DG44 dan 43 jawatan DG41 telah pun diisi, manakala 53 jawatan guru akan diisi selewat-lewatnya sebelum sesi persekolahan 2009 bermula.

''JPA juga telah meluluskan sembilan jawatan Pembantu Tadbir N17, manakala perkhidmatan 10 guru kader Kementerian Pelajaran gred DGA29 di Sekolah Henry Gurney pula akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelepasan Secara Perintah Parol dan Perasmian Sekolah Integriti yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, di Penjara Kluang, di sini hari ini.

Menurut Alimuddin, Kementerian Pelajaran berharap pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan akan lebih berkualiti apabila 53 jawatan guru itu dapat diisi sepenuhnya menjelang awal tahun depan.

Mengenai buku teks, beliau berkata, kementerian turut menyediakan skim pinjaman buku teks kepada semua sekolah di bawah Jabatan Penjara bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan.

''Ini untuk memberi peluang kepada banduan muda dan pesalah juvenil memajukan diri mereka," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 Julai 2008

Tiada ulasan: