Ahad, 13 Julai 2008

PIBG sekolah bandar disaran kumpul dana sendiri

PETALING JAYA 12 Julai - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah bandar disaran menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mengumpul dana sekolah mereka sendiri.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe (gambar)berkata, pihak sekolah di bandar boleh menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman SEA di sini sebagai contoh apabila PIBG sekolah berkenaan menganjurkan hari keluarga dan jogathan bagi mengumpul dana.

''Sekolah-sekolah bandar yang telah mempunyai infrastruktur asas harus mengamalkan sikap berdikari dalam mencari dana untuk memajukan sekolah mereka sendiri dan tidak semestinya perlu menunggu bantuan daripada pihak kerajaan semata-mata,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga dan Jogathon Sekolah Kebangsaan (SK) Taman SEA, di sini hari ini.

Turut hadir Guru Besar SK Taman SEA, Lim Eng Tai.

Hari Keluarga dan Jogathan sekolah berkenaan berjaya mengumpul dana sebanyak RM26,000 dalam tempoh sebulan hasil kerja keras PIBG dan masyarakat setempat.

Lian Hoe seterusnya berkata, usaha-usaha mengumpul dana sendiri yang dilakukan oleh sekolah-sekolah di bandar secara tidak langsung membolehkan kerajaan memfokuskan peruntukan kepada sekolah yang lebih memerlukan khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak masih memerlukan banyak sumber kewangan dan bantuan daripada kerajaan berbanding sekolah bandar terutamanya dari segi penyediaan kemudahan asas.

''Sekolah-sekolah di kedua-dua negeri itu kekurangan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air sehingga menyebabkan guru dan pelajar tidak dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang selesa," katanya.

Pada masa sama, Lian Hoe menyeru ibu bapa melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti mesyuarat PIBG, Hari Keluarga dan Jogathon walaupun mereka sibuk bekerja.

''Perkara ini penting kerana ibu bapa harus memantau prestasi akademik dan kokurikulum anak-anak mereka di sekolah di samping memberi sumbangan idea yang bernas untuk kemajuan dan pembangunan sekolah," jelasnya.

Sementara itu, lebih 200 murid SK Taman SEA menyertai aktiviti jogathon itu untuk mengumpul dana dalam usaha meningkatkan infrastruktur di sekolah tersebut.

Pada majlis itu, Lian Hoe turut memberikan sumbangan peribadinya sebanyak RM5,000 kepada SK Taman SEA sempena acara jogathon sekolah berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 13 Julai 2008

Tiada ulasan: