Selasa, 27 September 2011

Elak berkunjung ke selatan Thai

PASIR PUTEH 26 Sept. - Lebih 32,000 guru dan kakitangan sokongan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) diingatkan supaya mematuhi arahan Kementerian Luar yang tidak menggalakkan rakyat negara ini berkunjung ke selatan Thailand yang sedang bergolak bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, langkah itu bagi memastikan tidak ada guru, kakitangan JPN mahu pun pelajar yang tinggal di sempadan, terbabit dalam sebarang kejadian buruk ketika berkunjung ke sana terutama pekan Sungai Golok.

"Larangan yang dibuat JPN adalah selaras dengan arahan Kementerian Luar selepas berlakunya kejadian berdarah di pekan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini, hari ini.

Lebih 1,000 guru dan kakitangan sokongan memeriahkan program berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, Ismail Ghazali.

Pada 16 September lepas seorang kanak-kanak antara tiga rakyat Malaysia yang terbunuh manakala 60 rakyat tempatan cedera dalam kejadian tiga letupan bom di Sungai Golok, selatan Thailand.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, guru-guru sepatutnya mengambil iktibar kejadian tersebut dan bersyukur di atas keamanan negara berikutan kestabilan politik sehingga kerajaan berupaya menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berkata, keamanan berjaya dikekalkan hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini yang mampu mentadbir rakyat daripada pelbagai keturunan dan agama.

"Saya menyeru guru dan kakitangan sokongan supaya meneruskan perjuangan menyokong dasar-dasar kerajaan yang sedia ada demi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

"Kewibawaan dan keupayaan kerajaan sedia ada perlu dikekalkan dan tidak seharusnya mencuba untuk menyokong pihak lain yang belum tentu dapat membela nasib dan kesejahteraan keseluruhan rakyat sejak sekian lama," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 September 2011

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PATUT-PATUTlah Kalau nak berkempen... Jgn terang-terang sangat.

Tanpa Nama berkata...

JPN kltn dilihat bnyk berpihak kpd kerj., malah ada guru senior diketepikan utk kenaikan pangkat kerana dilabel berpihak lain (walaupun suaminya). Sedangkan dirinya tidak.

Cadang semua pegawai JPN kltn ditukar. tiada integriti.
Perlu transformasi.
Guru yg layak perlu dinaikkan pangkat. jangan dinafi hak mreka.
INGAT PADA DOSA SESAMA MANUSIA INI KALAU DI DUNIA TAK LEPAS JANGAN HARAP DI AKHIRAT BOLEH LEPAS .....

Tanpa Nama berkata...

Ya la...apa kita KPM buat REDEMPLOYMENT utk kakitangan di JPN & PPD pulak. Baru depa tau, susah ka tidak.