Isnin, 1 September 2008

248 guru dikenakan surcaj kehilangan peralatan RM9.56j

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sebanyak 248 guru telah dikenakan bayaran surcaj berjumlah RM1.91 juta kerana kehilangan peralatan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara tahun 2005 dan 2007.

Mengikut audit 2007, surcaj itu dikenakan ekoran rekod Kementerian Pelajaran bagi tempoh 2005 hingga 2007 menunjukkan peralatan seperti komputer riba, komputer desktop, projektor LCD dan pencetak bernilai RM9.56 juta telah hilang di 812 sekolah.

Selain guru, 194 syarikat kawalan keselamatan dikenakan tindakan yang sama dan membuat bayaran gantian berjumlah RM7.85 juta ekoran kehilangan peralatan itu di sekolah.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, antara punca kehilangan peralatan PPSMI ialah apabila komputer riba yang dibawa balik ke rumah oleh guru telah dicuri atau hilang.

''Tindakan surcaj diambil oleh Jawatankuasa Penilaian dan Jawatankuasa Tatatertib kementerian bagi kes-kes kelalaian guru manakala bagi kehilangan di sekolah syarikat kawalan keselamatan dikenakan tindakan,'' katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.

Mengikut laporan audit, pada 2005 sebanyak 680 komputer riba dan projektor LCD hilang di 274 sekolah, dengan kerugian dianggarkan bernilai RM4 juta.

Pada 2006, sejumlah 655 kehilangan komputer riba, projektor LCD, komputer desktop dan pencetak dilaporkan hilang di 295 sekolah dengan kerugian bernilai kira-kira RM2 juta.

Manakala pada 2007 sebanyak 490 kehilangan dilaporkan di 243 sekolah dan kerugian dianggarkan bernilai RM3 juta.

Mengulas lanjut Ambrin berkata, semakan audit mendapati telah ada laporan polis dibuat terhadap kehilangan peralatan PPSMI itu.

Beliau berkata, bagi kehilangan yang berlaku di 370 sekolah yang lain, pihak audit tidak dapat menentukan pihak yang bertanggungjawab kerana perkara itu masih dalam tindakan polis.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah kehilangan komputer riba di sekolah-sekolah, pihak kementerian telah mengambil tindakan membekalkan sejumlah 18,029 komputer desktop.

Selain itu, katanya, kementerian mengambil keputusan mengurangkan bekalan komputer riba melalui perolehan di bawah Fasa IV dan V.

Utusan Malaysia Online: 1 September 2008

Tiada ulasan: