Selasa, 30 September 2008

Sokong PIBG pertahan Sains, Matematik dalam BI

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Sri Pantai, membidas tindakan PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara yang mempertahankan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Sebagai pejuang Bahasa Melayu, beliau harus ingat, anak-anak Melayu juga harus dididik dengan pelbagai bahasa dalam keadaan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Seperti saya dahulu, sekitar tahun 1970 -an, kami juga terdiri daripada anak-anak dari sekolah luar bandar.

Kami bersyukur walaupun akademik kami tidak mencapai tahap tertinggi tetapi kami berbesar hati kerana dapat mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan kami memperoleh keputusan yang baik, bak kata pepatah Melayu di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Apakah beliau tidak nampak bagaimana anak-anak bangsa Cina dan India mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan mudah di sekolah mereka?

Janganlah kita memperlekehkan anak Melayu kita dengan alasan mereka bersekolah di luar bandar.

Sepatutnya kita dan guru-guru memberi semangat membina kepada bangsa kita. Bukan semuanya akan tercicir.

Saya syorkan kepada Kementerian Pelajaran jangan pandang mudah perkara ini, teruskan apa yang telah dilaksanakan terutama sekali kepada anak-anak luar bandar. Saya rasa mereka lagi berbangga kerana dapat mempelajari bahasa Inggeris menerusi dua subjek tersebut.

Saya rasa, dengan dua mata pelajaran tersebut sekiranya untuk menjadi doktor dan akauntan tidak perlu masuk kelas peralihan lagi. Jangan matikan semangat anak- anak luar bandar seolah-olah mereka tidak boleh menerima mata pelajaran tersebut.

Cuma yang diperlukan sekarang tenaga pengajar yang mendidik anak-anak luar bandar mestilah mempunyai strategi supaya anak-anak seronok dengan pelajaran tersebut.

Sekiranya anak-anak bangsa asing boleh mempelajari banyak bahasa, kenapa tidak anak-anak luar bandar?

Jadi, saranan yang dibuat oleh PIBG Se- kolah Kebangsaan Bukit Damansara yang mempertahankan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris saya sokong seratus peratus.

NORHAYATI ABDUL WAHAB

Ampang, Selangor

Utusan Malaysia Online: 30 September 2008

Tiada ulasan: