Oleh Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR: Semakan audit terhadap Laporan Mengenai Kajian Penilaian Pelaksanaan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mendapati penguasaan bahasa Inggeris majoriti guru Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah masih rendah.
Kajian itu yang dibuat tahun lalu oleh Kementerian Pelajaran bertujuan mengumpul maklumat mengenai status kesediaan guru dan pelajar bagi program PPSMI, dengan mendapatkan maklum balas daripada 2,127 guru sekolah rendah, 1,275 guru sekolah menengah, 44,912 murid Tahun Empat dan 52,187 pelajar Tingkatan Empat.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata penguasaan bahasa Inggeris guru secara puratanya dipengaruhi faktor kelayakan akademik bagi guru sekolah rendah, manakala guru sekolah menengah pula tempoh pengalaman mengajar mata pelajaran PPSMI, selain selari pencapaian gred Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dari segi persepsi, beliau berkata, guru sekolah menengah lebih bersedia mengajar menggunakan bahasa Inggeris berbanding guru sekolah rendah, namun guru sekolah rendah lebih yakin terhadap PPSMI berbanding guru sekolah menengah.
“Masih ada murid Tahun Empat dari Sabah, Kelantan dan Perlis serta pelajar Tingkatan Empat dari Sarawak, Sabah dan Kedah, khususnya di kawasan luar bandar, menghadapi masalah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris.
Antara syor dikemukakan ialah Kementerian Pelajaran memastikan guru terbabit PPSMI diberi latihan mencukupi bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.
Secara umum, Ambrin berkata, ada beberapa kelemahan perlu dibaiki dalam pengurusan peralatan PPSMI yang diaudit, antaranya kehilangan peralatan PPSMI bernilai RM9.56 juta di 812 sekolah sejak 2005 hingga 2007 dan lebihan komputer riba berbanding bilangan guru PPSMI.
Beliau juga mendedahkan kerja pemasangan beberapa peralatan PPSMI belum selesai tetapi Sijil Pengujian dan Pemasangan sudah ditandatangani, selain didapati kerja pemasangan peralatan tidak sempurna.
Malah, ada sekolah tidak menempatkan peralatan PPSMI di lokasi ditetapkan, sebaliknya dipasang di lokasi tidak sesuai seperti kantin sekolah, bilik prasekolah dan bilik pengetua/guru besar.
Berita Harian Online: 1 September 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan