Selasa, 30 September 2008

Guru terlepas peluang permohonan naik pangkat

SURAT pekeliling Kementerian Pelajaran mengenai urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG 41 ke Gred DG 44 secara `time-based' bagi Pegawai PPPLD dilantik sebagai PPPS Gred DG 41), dihantar untuk perhatian guru pada 26 Ogos lalu.

Saya ingin menarik perhatian Kementerian Pelajaran, bahawa saya dan ramai lagi guru yang seangkatan dilantik ke PPPS Gred 41 pada 1 Januari 2002.

Berdasarkan pekeliling itu, pegawai yang dipertimbangkan adalah mereka yang dilantik ke PPPS Gred DG 41 sekurang-kurangnya tujuh tahun pada atau sebelum 16 Mei 2008 atau dalam tempoh 17 Mei 2008 hingga 31 Disember 2008.

Dalam jadual kiraan tempoh perkhidmatan yang dilampirkan, tahun lantikan PPPS hanya setakat 31 Disember 2001. Ini bermakna kumpulan guru yang dilantik pada 1 Januari 2002 terlepas peluang mengisi borang untuk kenaikan pangkat pada tahun ini.

Jika mengikut perkiraan sebenar, perkhidmatan kami dalam PPPS DG 41 akan genap tujuh tahun pada 31 Disember 2008. Kami juga memenuhi semua syarat yang diperlukan. Di sekolah saya saja ada tiga guru yang dilantik pada tarikh yang sama.

Dengan itu, kami memohon kepada kementerian supaya menyemak semula pekeliling itu dan memasukkan guru lantikan 1 Januari sebagai pegawai yang layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke DG 44.

Sebelum ini kami terlepas peluang naik pangkat DG 32. Kemudian setelah naik ke DG 41, kenaikan gaji kami cuma 15 peratus menyebabkan gaji guru DG 32 yang baru sepuluh tahun mengajar lebih besar daripada kami yang hampir 20 tahun mengajar. Semoga rayuan kami diberi perhatian.

GURU DEDIKASI,
Kluang, Johor.

Berita Harian Online: 30 September 2008

Tiada ulasan: