Ahad, 21 September 2008

130 PPD naik pangkat

KUALA TERENGGANU 20 Sept. - Lebih 130 pegawai pendidikan daerah (PPD) di seluruh negara dinaikkan pangkat kepada gred DG52 bagi memudahkan pengurusan dan pentadbiran di sekolah-sekolah di bawah penyeliaan mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini telah meningkatkan skim perkhidmatan semua PPD daripada pangkat DG44 dan DG48 kepada DG52 iaitu setaraf dengan gred pengetua sekolah.

Katanya, kenaikan skim perkhidmatan ini akan membolehkan mereka memiliki kuasa pentadbiran lebih berkesan terhadap pengetua-pengetua sekolah di bawah seliaan mereka.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bubur lambuk anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan UMNO Kampung Masjid Tok Ku di sini hari ini.

Razali berkata, kementerian juga sedang mengkaji masalah guru terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian di sekolah-sekolah sehingga mengganggu tumpuan mereka terhadap pembelajaran dalam kelas ekoran kekurangan kakitangan sokongan.

Menurutnya, kementerian akan meminta JPA supaya meluluskan lebih banyak staf-staf sokongan terutama kerani supaya guru-guru berkenaan tidak lagi perlu melakukan kerja-kerja perkeranian.

Sebenarnya ujar beliau, JPA pada tahun ini sahaja telah meluluskan pelantikan kira-kira 8,000 staf sokongan untuk sekolah-sekolah namun ia masih belum mencukupi.

Utusan Malaysia Online: 21 September 2008

Tiada ulasan: