Selasa, 30 September 2008

Guru gagal PTP akan ditukar mata pelajaran

Oleh Syuhada Choo Abdullah


Pendidik ajar Sains, Matematik mesti mahir bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Guru Sains dan Matematik yang didapati masih gagal menguasai kemahiran bahasa Inggeris selepas beberapa kali menduduki Penilaian Tahap Profisiensi (PTP) akan ditukarkan mengajar mata pelajaran lain.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata guru terbabit ialah mereka yang berterusan mencatat pencapaian rendah iaitu Tahap Satu dan Tahap Dua dalam PTP.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah.

"Justeru, guru PPSMI yang masih gagal menunjukkan sebarang peningkatan daripada pencapaian rendah mereka dalam PTP selepas tiga atau empat kali menduduki penilaian itu, mereka akan diarah mengajar mata pelajaran lain.

"Bagaimanapun, berdasarkan hasil penilaian setakat ini, hanya sebilangan kecil guru yang mencatat pencapaian rendah dalam PTP dan sedang berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

"Secara keseluruhan, rata-rata guru PPSMI tidak menghadapi masalah berkenaan selepas beberapa tahun melaksanakan pengajaran itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan seramai 74,657 guru yang melaksanakan PPSMI menduduki PTP bagi mengukur pencapaian mereka dalam penguasaan kemahiran bahasa Inggeris, 28 Jun dan 5 Julai lalu.

PTP menguji tahap penguasaan bahasa Inggeris guru terbabit dalam tiga aspek kemahiran, iaitu penulisan, pendengaran dan pertuturan. Penguasaan diukur berdasarkan pencapaian Tahap Lima dan Tahap Empat yang dikategorikan sebagai memiliki kecekapan tinggi, Tahap Tiga (sederhana), manakala Tahap Dua dan Tahap Satu (rendah).

Sambil menjelaskan pihaknya belum menerima laporan keputusan penilaian terbaru itu, Alimuddin berkata, semua guru Sains dan Matematik perlu memanfaatkan bayaran insentif subjek pendidikan (BISP) yang diperoleh sebagai bantuan tambahan untuk pembangunan diri ke arah memperkemas kemahiran berbahasa Inggeris, di samping kursus dan program sokongan disediakan kerajaan.

Secara umum, katanya, guru terbabit dalam pelaksanaan dasar PPSMI menerima BISP pada kadar lima peratus daripada gaji pokok bagi pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah, manakala bukan siswazah pula 10 peratus sebagai pengiktirafan serta keprihatinan terhadap mereka.

Berita Harian Online: 30 September 2008

Tiada ulasan: