Oleh Rosniza Mohd Taha
MISI KECEMERLANGAN: Pengetua SBP bergambar kenangan ketika menyertai konvensyen di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, baru-baru ini. |
Misi SBP lonjak sistem pendidikan, lahirkan pemimpin bertaraf dunia
PELAN Pendidikan Sekolah Berasrama Penuh (PPSBP) 2008 - 2015 yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan enam strategi bagi melonjak kecemerlangan sistem pendidikan sekolah berkenaan ke arah melahirkan pemimpin bertaraf dunia.
Enam strategi itu ialah memantapkan pengurusan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal pelajar, kokurikulum dan kakitangan serta menggembleng peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni dengan penetapan indeks prestasi utama (KPI).
PPSBP bertemakan Melahirkan Pemimpin Bertaraf Dunia - Misi SBP itu menjadi hala tuju bagi memperkemas pelaksanaan program pendidikan untuk tempoh lapan tahun akan datang supaya SBP menjadi model dan penanda aras institusi pendidikan terbilang peringkat antarabangsa.
Berucap melancarkan pelan itu di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, baru-baru ini, Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani, berkata PPSBP adalah pelan perancangan bersepadu dan menyeluruh merangkumi tiga aspek utama, iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia untuk melahirkan pemimpin bertaraf dunia.
Katanya, empat fokus dikenal pasti untuk mengukuhkan sistem pendidikan SBP menerusi pelan itu ialah membina negara bangsa bersemangat patriotisme, membina modal insan berkualiti dan berilmu tinggi, memartabatkan profesion keguruan SBP serta melonjakkan sekolah itu sebagai institusi pendidikan cemerlang.
"Pelan ini dirancang berasaskan matlamat Wawasan 2020 dengan mengambil kira intipati Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, falsafah, misi dan matlamat SBP serta perkembangan dan cabaran pendidikan semasa.
"Antara matlamatnya menghasilkan pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum, berkeperibadian unggul, bermoral, berdaya saing, berwawasan, patriotik dan berfikiran terbuka.
"Ia juga bertujuan menjadikan SBP sebagai model institusi pendidikan terbilang serta memupuk kepemimpinan jitu di kalangan pemimpin dan pengurusannya," katanya.
Mengulas lanjut strategi pelan itu, Siti Zaleha berkata KPI ditetapkan bagi pengurusan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum.
Bagi pengurusan kakitangan, katanya, kaunselor dipertanggungjawab merancang dan melaksana program untuk mencungkil potensi pelajar, guru dan kakitangan sokongan bagi meningkatkan kekuatan personaliti, kebolehan akademik dan kokurikulum.
Beliau berkata, peranan PIBG dan alumni akan digembleng bagi membolehkan mereka membantu sekolah dalam aspek nasihat, kepakaran, tenaga kerja dan kewangan untuk melaksanakan program kurikulum dan aktiviti hal ehwal pelajar.
"PPSBP adalah perancangan sistematik yang perlu dilaksanakan semua guru penolong kanan, guru kanan mata pelajaran, kaunselor dan guru serta memerlukan sokongan PIBG dan alumni.
"Pengetua perlu menerajui pelaksanaan PPSBP peringkat sekolah dengan menjalankan program bersesuaian secara terperinci dan berkesan supaya pelan ini difahami, dihayati dan dilaksanakan dengan sempurna," katanya.
INFO
KPI Pengurusan Pentadbiran
1) Pencapaian akademik cemerlang
2) Pengurusan sumber manusia berkualiti
3) Pengurusan kewangan berimpak (audit tanpa teguran)
4) Sifar kes salah laku dan bilangan pelajar keluar SBP
5) Kokurikulum pemangkin kepada sahsiah terbilang
KPI Pengurusan Kurikulum
1) Pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah hendaklah 100 peratus pelajar mendapat A dalam semua subjek dan Gred Purata Sekolah Keseluruhan (GPSK) 1.0
2) GPSK peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mencapai 2.0 atau kurang. Bagi mata pelajaran teras, 100 pelajar mendapat A1 dan A2 serta mata pelajaran elektif 80 peratus pelajar mendapat A1 dan A2.
3) Setiap mata pelajaran akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang Guru Cemerlang pada 2010.
4) Latihan Dalam Perkhidmatan mengikut keperluan guru dan mempunyai tambah nilai.
5) Jumlah anugerah dimenangi dalam bidang kurikulum meningkat setiap tahun.
KPI Pengurusan Hal Ehwal Murid
1) Permohonan murid keluar dari SBP adalah sifar
2) Kes salah laku sifar
3) Sistem Rumah diterapkan di kalangan warga SBP secara berkesan
4) Asrama menetapi Piawaian Kualiti Asrama SBP
5) Dewan Makan mematuhi Piawaian Kualiti Dewan Makan SBP
6) Program Jati Diri mencapai matlamat ditetapkan
7) Pemantapan kepimpinan pelajar meningkat setiap tahun
8) Jumlah anugerah dimenangi berkaitan hal ehwal murid meningkat setiap tahun
KPI Pengurusan Kokurikulum
1) 100 peratus pelajar terbabit dalam kegiatan kokurikulum
2) Peningkatan peratusan pelajar memenangi pertandingan peringkat kebangsaan setiap tahun
3) Peningkatan peratusan pelajar memenangi pertandingan peringkat antarabangsa setiap tahun
4) Peningkatan peratusan pelajar memperolehi pengiktirafan dalam kegiatan sukarelawan
5) Ketahanan diri, berdaya saing, keyakinan tinggi terserlah di kalangan pelajar SBP.
Berita Harian Online: 1 September 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan