KEMENTERIAN Pelajaran menyediakan 12,228 tempat kepada lulusan ijazah sarjana muda untuk mengikuti program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Sekolah Rendah sepenuh masa dan KPLI -j-QAF (program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain) ambilan Januari, tahun depan.
Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Kementerian Pelajaran, Datin Asariah Meor Shaharuddin, berkata daripada jumlah itu, 7,448 tempat disediakan bagi kemasukan KPLI sepenuh masa, manakala baki 4,780 untuk KPLI-j-QAF yang menggunakan mod latihan perguruan berasaskan sekolah.
Katanya, pada pengambilan kali ini sejumlah 59,176 permohonan diterima daripada lulusan terbabit dengan 56,396 calon memenuhi syarat dan layak menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia.
“Trend permohonan kali ini tidak jauh berubah berbanding dengan kemasukan sebelumnya yang menunjukkan purata sekitar 60,000 diterima setiap tahun.
“Ini termasuk pecahan permohonan mengikut jantina yang menunjukkan calon wanita terus mengatasi dengan 47,108 berbanding hanya 12,068 lelaki,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Asariah menjelaskan, sebanyak 15 bidang pengajian ditawarkan untuk KPLI iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Agama Islam.
Seterusnya, Kajian Sosial, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran, Pemulihan Khas, Bimbingan dan Kaunseling serta Pendidikan Muzik.
Katanya, KPLI-j-QAF pula menawarkan tiga bidang pengajian merangkumi Bahasa Arab, Agama Islam dan Pendidikan Khas j-QAF.
Asariah berkata, proses temu duga calon terpilih kini berlangsung di seluruh negara sehingga 25 September ini meliputi 27 institut pendidikan guru (IPG) dan lokasi lain yang terpilih.
“Temu duga berkenaan memfokus kepada aspek ilmu pengetahuan calon dalam bidang pengajian dipohon, sekali gus menilai sejauh mana penguasaan mereka dalam subjek dipilih.
“Calon turut diuji dari segi pengetahuan am dan isu semasa, selain aspek sahsiah yang menepati ciri pendidik dikehendaki, kemahiran berkomunikasi, kematangan fikiran, selain penampilan diri,” katanya.
Asariah berkata, pemilihan calon turut memberi keutamaan kepada ketepatan bidang ijazah kelulusan mereka dengan opsyen pengajian dipohon.
Katanya, calon terbabit boleh menyemak keputusan tawaran pengambilan secara dalam talian mulai 24 Disember ini dan mereka yang berjaya dijadualkan mendaftar kemasukan serentak di semua IPG, 12 Januari tahun depan.
Berita Harian Online: 17 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan