Banyak kemudahan kepada OKU diberikan, ini termasuk elaun murid OKU bertambah daripada RM50 kepada RM150 sebulan, peningkatan sebanyak 300 peratus. Elaun bagi pembantu pengurusan murid (PPM) sebanyak RM200 turut diperkenalkan dalam bajet kali ini. Ia jelas membuktikan kerajaan amat mengambil berat golongan OKU di negara kita ini.
Namun, guru yang mengajar murid pemulihan, belum menerima elaun berkenaan, diharap ia dapat dipertimbangkan dalam bajet akan datang. Sebenarnya elaun ini sudah lama dimohon, namun sehingga kini belum lagi diberikan.
Elaun Pembantu Pengurusan Murid adalah sesuatu yang amat tepat sekali. Namun saya rasa satu mekanisme perlu disediakan agar pemberian elaun ini memberi kesan yang maksimum kepada mereka.
Jawatan PPM di kelas pendidikan khas adalah satu jawatan baru, mereka tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pengurusan pendidikan khas. Mereka juga didapati tidak mengetahui jenis ketidakupayaan dan kategori kurang upaya murid mengikuti kelas pendidikan khas.
Tanpa pengetahuan ini, ia akan menjejaskan perkhidmatan yang diberikan. Saya rasa semua PPM harus diberikan kursus mengenai cara mengendalikan murid pendidikan khas supaya perkhidmatan yang diberikan menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
PPM perlu diberikan kursus agar boleh membantu dengan baik seperti membuat bahan bantu mengajar, membuat stok, kerja pekeranian dan kemahiran teknologi maklumat. Mereka juga harus diberikan kursus asas pendidikan khas (Pengenalan Pendidikan Khas), psikologi pendidikan khas dan keselamatan.
Selepas mereka tamat kursus lima hari barulah elaun itu diberikan. Sebenarnya guru yang mengajar di kelas pendidikan khas hanya layak menerima elaun selepas menghadiri kursus selama lima hari mengenai pendidikan khas. Kursus kepada PPM boleh disediakan institusi yang berwibawa seperti Universiti Kebangsaan Malaysia yang mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang pendidikan khas.
Seperkara lagi, mengenai pemberian elaun murid pendidikan khas. Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan agar hanya murid yang benar-benar OKU menerima elaun itu. Kini kalau kita ke kelas pendidikan khas kita akan lihat hampir separuh muridnya adalah kategori pemulihan (lambat belajar). Mereka ini adalah murid yang lewat perkembangan dan bukan bermasalah pembelajaran.
Mereka boleh belajar seperti murid biasa, cuma memerlukan lebih tumpuan, kaedah individu dan masa yang lebih sedikit. Mereka mempunyai potensi untuk berjaya dalam akademik. Satu kurikulum lebih menjurus kepada masalah mereka harus disediakan.
DR MOHD HANAFI MOHD YASIN,
Fakulti Pendidikan UKM,
Bangi, Selangor
Berita Harian Online: 2 September 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan