PADA Jumaat (5 September) lalu, seorang guru yang juga pelajar sarjana Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Slim River, Perak.
Kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan ke universiti bagi mengikuti kelas sarjana yang diadakan setiap hujung minggu. Bagi kebanyakan kita, ini bermakna seorang suami kehilangan isteri, anak kehilangan ibu dan murid kehilangan guru.
Bagi Kementerian Pelajaran pula ia tidak lebih daripada kehilangan seorang kakitangan.
Apa yang tidak disedari sebenarnya dunia pendidikan kehilangan sebutir bintang. Guru seperti inilah umpama bintang menyinari dunia pendidikan.
Untuk kepentingan pendidikan, seorang guru perlu sentiasa meningkatkan penguasaan ilmu. Guru ini sanggup meninggalkan keluarga setiap hujung minggu, mengeluarkan semua perbelanjaan dari poket sendiri, berkorban masa untuk menyiapkan tugasan pelajaran, mengambil risiko keselamatan dan berkorban nyawa untuk dunia pendidikan.
Ada ribuan lagi guru yang berada dalam keadaan sama. Tidak pernah ada ganjaran yang dijanjikan bagi mereka yang berkorban bagi menuntut ilmu. Apa yang sering kita dengar daripada kementerian ialah guru perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dan perlu mempunyai inisiatif memajukan diri.
Guru ini menyahut saranan itu tetapi apa pula inisiatif kementerian terhadap gurunya. Sudah ada ribuan guru memperoleh kelulusan Sarjana Pendidikan tetapi kementerian langsung tidak menunjukkan inisiatif bagi menghargai guru ini.
Isu guru yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda dan kehilangan kekananan masih tidak diselesaikan. Guru ini juga meningkatkan ilmu pengetahuan tetapi akhirnya gaji mereka lebih rendah daripada rakan yang tidak melanjutkan pelajaran.
GURU BIASA,
Batu Caves, Selangor.
Berita Harian Online: 10 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan