Jumaat, 5 September 2008

19 guru kadet bomba Selangor terima tauliah

Oleh Md Fuzi Abd Lateh


BERJAYA: Antara guru kadet bomba yang menerima tauliah di Kem Ampang Pecah, Hulu Selangor.

SERAMAI 19 guru pemimpin kadet bomba negeri Selangor ditauliahkan pangkat pegawai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, baru-baru ini.

Pentauliahan disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Mohd Puzi Mohd Tabot sempena Perkhemahan Kadet Bomba dan

Penyelamat peringkat negeri Selangor di Kem Bina Semangat, Ampang Pecah, Hulu Selangor.

Hadir sama, Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Selangor, Basrin Yaman.

Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizan Saad, berkata menjadi tanggungjawab Unit Latihan JBPM sentiasa memberikan pendedahan terkini kepada semua guru sekolah menengah yang ditauliahkan sebagai jurulatih.

Katanya, dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor pihaknya melantik guru penyelaras dari 10 daerah tahun ini bagi memimpin kadet di sekolah masing-masing.

"Tahun ini, guru pemimpin dari Hulu Selangor, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Petaling Perdana, Petaling Utama, Gombak, Klang, Hulu Langat dan Kuala Langat diberikan pentauliahan itu.

"Ini menjadikan mereka lebih bersemangat untuk memimpin kadet di sekolah menggunakan kurikulum yang ditetapkan ketika kegiatan kokurikulum di sekolah," katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.

Katanya, sebelum menerima pentauliahan itu setiap guru perlu menjalani latihan dan ujian asas yang ditetapkan dalam beberapa program yang ditetapkan jabatan itu.

Norizan berkata, ilmu yang diterapkan kepada kadet bomba adalah belajar memadamkan api kebakaran dengan teknik yang betul, asas kawad kaki yang betul, menyelamat mangsa memerlukan bantuan dan disiplin tinggi dalam semua perkara.

Katanya, pelbagai ilmu yang dikuasai kadet remaja itu diuji dan dinilai semula ketika mereka menyertai program perkhemahan kadet bomba pada semua peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

"Seperti contohnya dalam perkhemahan kali ini kami mempertandingkan acara kawad kaki, kawad hos individu, kawad hos basah, kawad menyelamat kering, kuiz kebombaan, mendirikan khemah dan malam kebudayaan.

"Demonstrasi menyelam dan menyelamat turut diadakan di sebuah tasik berdekatan kem ini bagi memberi pendedahan kemahiran terbaru operasi menyelamat dalam air kepada peserta," katanya.

Berita Harian

Tiada ulasan: