Rabu, 17 September 2008

NUTP tak telus isu PPSMI

SAYA ingin merujuk kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Saya mengucapkan syabas kepada NUTP kerana membuat keputusan menolak sistem PPSMI, sekurang-kurangnya peringkat sekolah rendah. Namun, kenyataan NUTP bahawa pihaknya reda jika kerajaan tetap meneruskan sistem itu tahun depan menarik perhatian saya.

Sebelum terlupa, kenyataan NUTP itu dibuat selepas NUTP memaklumkan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan berkaitan skim gaji baru bagi guru, termasuk guru yang berkelulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Saya menyokong skim gaji guru berbeza mengikut kelulusan sama ada diploma, ijazah pertama, ijazah sarjana, dan doktor falsafah. Perbezaan itu akan menggalakkan lagi guru menambah ilmu pengetahuan, di samping menarik minat golongan cerdik pandai untuk memilih kerjaya perguruan.

Namun, tatkala NUTP membangkitkan perkara ini, NUTP mengeluarkan pula kenyataan yang membayangkan mereka pasrah jika kerajaan tetap ingin meneruskan dasar PPSMI tahun depan. NUTP seolah-olah bermain tarik tali dengan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran.

Mungkin NUTP tidak berniat seperti apa yang sedang saya fikirkan sekarang ini. Namun, kenyataan NUTP itu mengundang persepsi bahawa NUTP menjadikan nasib bahasa Melayu sebagai cagaran dalam usaha mereka menuntut agar pihak kerajaan bersetuju dengan skim gaji baru untuk guru berkenaan.

NUTP seolah-olah sanggup melihat bahasa Melayu 'melukut di tepi gantang' asalkan poket guru penuh dengan wang.

Namun, keputusan tetap keputusan. Kalau sudah diputuskan bahawa sistem PPSMI tidak sesuai untuk pelajar, khususnya di sekolah rendah, maka teruskanlah. Tidak tolak ansur dalam hal ini, kecualilah bagi mereka yang berfikiran materialistik.

DR MOHD HILMI ABDULLAH,
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri,
Kelantan.

Berita Harian Online: 17 September 2008

Tiada ulasan: