Selasa, 23 September 2008

Syor kurangkan mata pelajaran

Oleh Amin Ridzuan Ishak

NUTP dakwa terima aduan terlalu banyak subjek beban guru, pelajar

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili kira-kira 135,000 guru di seluruh negara mahu jumlah mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah dikurangkan kerana ia membebankan guru serta pelajar.

Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada ibu bapa murid dan guru yang mengatakan jumlah subjek yang diajar menerusi sistem pendidikan negara ketika ini terlalu banyak.

"Subjek diperkenalkan ketika ini jelas membebankan kedua-dua pihak dan merugikan kerana ada kalanya murid tidak lagi mampu mengikuti sesi pembelajaran yang boleh mengganggu tugas guru untuk mengajar.

"Keadaan seumpama itu tidak begitu baik dan tidak sihat dalam usaha memajukan Malaysia menerusi sistem pendidikan yang boleh dicapai dengan melahirkan modal insan berkualiti.

"Sehubungan itu, kami mahu supaya Kementerian Pelajaran mengurangkan jumlah mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah demi kebaikan pada masa depan," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ketika ini, antara mata pelajaran diajar kepada murid di sekolah rendah adalah seperti Bahasa Malaysia, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Seni.

Berita harian Online:22 September 2008


Tiada ulasan: