JOHOR BAHRU 20 Sept. - Golongan pendidik dinasihatkan tidak terganggu dan terpesong dengan iklim politik semasa, sebaliknya terus komited memberikan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, kerajaan mengharapkan semua guru terus profesional melaksanakan tugas mereka.
Beliau berkata, guru-guru usah 'sibuk' menjadi penganalisis politik semasa di sekolah, sebaliknya hendaklah menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas hakiki mereka.
''Saya tahu sejak enam bulan kebelakangan ini keadaan politik tidak menentu tetapi tidak usahlah kita sibuk menjadi penganalisis politik.
''Terus tumpukan perhatian kepada akademik dan usaha membentuk sikap, sahsiah dan pembentukan diri anak-anak kita," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat permuafakatan dengan 25 pemimpin kesatuan guru di seluruh negara dan pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran di sini hari ini.
Razali yakin kira-kira 360,000 pendidik di seluruh negara tetap profesional dalam melaksanakan tugas mereka dan tidak mudah terganggu dengan keadaan politik semasa.
Utusan Malaysia Online: 21 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan