Jumaat, 19 September 2008

Mahu BM diguna semula

PENGUMUMAN Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula pelaksanaan dasar PPSMI iaitu sistem pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris semestinya merupakan suatu hal yang tepat pada masanya untuk difikirkan sejenak, bagi mengelakkan 'yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran'.

Saya amat bersetuju sama sekali terhadap keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula hal itu dan diharapkan agar dasar itu diganti semula dengan dasar lama iaitu pengajaran dan pembelajaran mestilah dijalankan dengan menggunakan bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita merupakan suatu bahasa yang sangat penting kerana bahasa itu merupakan bahasa ilmu pada peringkat global. Namun begitu kaedah yang digunakan untuk menambah baik penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia iaitu dengan melaksanakan dasar PPSMI dirasakan tidak begitu tepat dan bersifat questionable in term of the effectiveness.

Kaedah penambahbaikan itu mungkin hanya memberikan faedah kepada sebahagian kecil bilangan pelajar dan memberikan bencana kepada sebahagian besar pelajar terutama yang tinggal di luar bandar.

Satu lagi hal yang membimbangkan, kita mengetahui bahawa pelajar yang berada di luar bandar mempunyai bukan sahaja potential tetapi actuality untuk berjaya dengan lebih baik tetapi akibat daripada dasar itu hal yang sebaliknya akan menimpa mereka, sudahlah mereka seolah-olah mempunyai jurang yang semakin melebar dalam pelbagai hal berbanding rakan-rakan mereka yang berada di bandar.

Walaupun begitu, sekalung tahniah diucapkan kepada Kementerian Pelajaran yang berusaha untuk mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dengan pelajar luar bandar.

Kementerian Pelajaran juga mengumumkan untuk menambah baik kurikulum bahasa Inggeris dan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Inggeris dirasakan idea yang tepat untuk menambah baik penguasaan bahasa Inggeris.

Selain itu, saya berpendapat bahawa hal yang menyebabkan pelajar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik ialah kefahaman pelajar terhadap bahasa Inggeris. Kita kena sedar bahawa konteks pelajar di negara kita berbeza dengan konteks pelajar yang sememangnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Oleh itu, tiada faedah sedikit pun jika kita mengajar pelajar supaya mereka menguasai bahasa Inggeris dengan begitu fasih tetapi kandungan yang diajar kurang difahami oleh pelajar akibat pemikiran pelajar yang kebanyakan masih berfikir dengan menggunakan bahasa ibunda mereka tetapi dalam masa yang sama mereka sedang mempelajari bahasa Inggeris. Hal ini mestilah sukar untuk dirubah kerana hal itu melibatkan perkara kognitif.

Namun begitu, pelajar mesti dilatih untuk berfikir dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu oleh pelajar. Dan sepatutnya jikalau pelajar tidak dapat memahami perkara yang diajar dalam bahasa Inggeris, tanpa ragu-ragu bahasa yang dapat difahami oleh pelajar itu mestilah digunakan untuk memberikan kefahaman kepada pelajar itu.

Walaupun saya menentang dasar PPSMI, tetapi saya tidak akan sesekali meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris kerana kebanyakan buku, jurnal akademik dan laporan kajian ditulis dalam bahasa tersebut terutama pada peringkat universiti.

Saya cuma mempersoalkan keberkesanan dasar dalam mempertingkat tahap penguasaan bahasa Inggeris. Maknanya saya sedang mempersoalkan adakah kaedah itu tepat dalam usaha kita untuk menambah baik penguasaan bahasa kedua bukannya kepentingan bahasa itu dipinggirkan terus.

Walaupun begitu, dasar PPSMI mestilah diteruskan bukan pada peringkat sekolah tetapi pada peringkat universiti kerana memang pada peringkat universiti kebanyakan pelajar sudah bersedia untuk menggunakan bahasa itu akibat suasana global iaitu bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di peringkat dunia.

Ingin ditegaskan sekali lagi, dasar dibuat untuk faedah pelajar tetapi jikalau ternyata dasar itu meruntuhkan minat pelajar terhadap dua subjek yang memang dianggap penting sejak dari dulu lagi maka wajar sekali dasar itu dikaji semula.

Buatlah pilihan yang terbaik kerana terdapat banyak lagi kaedah yang mampu menambah baik penguasaan pelajar terhadap bahasa Inggeris seperti suatu kaedah yang kita lupa iaitu menambah baik pengajaran guru sebelum menambah baik penguasaan di kalangan pelajar.

Tiada ulasan: