KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyiasat segera kehilangan peralatan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bernilai RM9.56 juta sejak 2005 hingga 2007 di 812 sekolah seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong yang memandang serius perkara itu berkata, kementerian perlu meneliti beberapa perkara sebelum memulakan siasatan bagi memudahkan tindakan diambil.
Ka Siong berkata, secara kebiasaannya peralatan yang digunakan untuk tujuan PPSMI ialah komputer riba, projektor dan OHP.
"Kita perlu mengetahui peralatan ini digunakan untuk tujuan PPSMI atau sebaliknya. Saya difahamkan sebagai contoh, komputer riba yang dibekalkan kepada guru selain untuk program berkenaan juga digunakan untuk tujuan pembelajaran lain.
"Bagaimanapun, kita mengalukan-alukan apa yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007. Saya percaya ia bertujuan memantapkan lagi sistem pendidikan di negara ini," katanya kepada Berita Harian semalam.
Semalam, akhbar ini yang memetik laporan Ketua Audit Negara 2007 menyebut Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai berkata ada beberapa kelemahan perlu dibaiki dalam pengurusan peralatan PPSMI, antaranya kehilangan peralatan bernilai RM9.56 juta di 812 sekolah sejak 2005 hingga tahun lalu.
Selain itu, semakan terhadap laporan PPSMI mendapati penguasaan bahasa Inggeris majoriti guru Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah masih rendah.
Sementara itu, Wee berkata, pihaknya sedar penguasaan bahasa Inggeris majoriti guru Sains dan Matematik masih rendah, tetapi kementerian akan berusaha memperbaiki kelemahan itu.
"Sebelum ini juga, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menjelaskan bahawa kementerian mengambil pelbagai langkah untuk mengukuhkan PPSMI," katanya.
Berita Harian Online: 2 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan