Jumaat, 19 September 2008

Respons Isu: PPSMI - Jangan tersilap langkah

Oleh Zainor Said

ISU mengenai dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) terus menjadi bahan polemik.

Walaupun Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussain, telah memberi jaminan keputusan yang bakal dibuat sebelum akhir tahun ini turut mengambil kira pandangan ramai selain pencapaian calon dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, namun ada pihak yang sudah membuat keputusan sendiri.

Mereka mahukan dasar itu tidak diteruskan sambil mengutarakan pelbagai alasan negatif terhadap prestasi pelajar membabitkan kedua-dua subjek berkenaan. Mereka juga mendesak Hishammuddin melepaskan jawatan sebagai Menteri Pelajaran sekiranya dasar itu tidak kembali kepada penggunaan bahasa Melayu seperti sebelumnya.

Demikianlah keadaannya jika perasaan tidak puas hati sudah menguasai diri, walaupun menyedari tindakan mereka itu tidak dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya menjadikannya bertambah rumit.

Tahun ini pelaksanaan dasar PPSMI yang diperkenal pada 2003 genap usia enam tahun. Murid yang terbabit dengan dasar itu sejak Tahun Satu menduduki peperiksaan UPSR 2008 pada 9 hingga 11 September lalu. Itulah tempoh yang dijanjikan kementerian untuk menilai semula sejauh mana dasar itu mencapai matlamatnya.

Seperti yang pernah dinyatakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail, PPSMI dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid pelbagai konsep serta istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Pada masa yang sama kementerian juga mahu menjadikan pelajar itu mahir dan menguasai bahasa berkenaan.

Tidak boleh dinafikan bahasa Inggeris adalah penting kerana banyak maklumat berkaitan bidang sains dan teknologi adalah dalam bahasa Inggeris. Pelajar harus mahir dan menguasai bahasa itu kerana ia akan mempermudahkan mereka mempelajari ilmu sains dan teknologi, walaupun usaha itu mengambil masa yang agak panjang.

Tapi malangnya dalam tempoh pelaksanaan dasar PPSMI, terlalu banyak masalah timbul. Yang paling membimbangkan banyak pihak ialah prestasi sebahagian besar murid yang lemah bagi kedua-dua subjek yang didakwa berpunca daripada pelaksanaan PPSMI, terutama di sekolah luar bandar. Masalah lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi murid ialah kelemahan dalam kalangan guru sendiri yang tidak mampu menyampaikan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Kita faham, dalam keadaan sekarang bukan mudah bagi Menteri Pelajaran untuk membuat keputusan kerana adalah tidak tepat jika dikatakan dasar PPSMI itu langsung tidak memberi kesan positif dalam membantu pelajar memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Di sebalik kemerosotan prestasi Sains dan Matematik yang sering ditonjolkan oleh pihak tertentu dengan pelbagai bukti hasil kajian mereka, kita juga tidak boleh menafikan bahawa terdapat ramai pelajar yang mampu meraih markah cemerlang, walaupun subjek berkenaan diajar dalam bahasa Inggeris.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh mengetepikan keyakinan sesetengah ibu bapa bahawa pelaksanaan PPSMI mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris anak mereka berbanding kelompok pelajar yang tidak terbabit dengan dasar itu. Begitu juga keadaannya dengan pelajar luar bandar, kemampuan mereka berbahasa Inggeris sudah tentu lebih positif, kalaupun mereka tidak cemerlang.

Dasar PPSMI juga telah memberi kesedaran dan membuka minda ramai ibu bapa di luar bandar pentingnya mereka memberi penekanan kepada bahasa Inggeris jika ingin anak mereka maju dan bersaing dengan kaum lain. Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran, namun semua itu dianggap sebagai cabaran yang harus ditempuh dan perlu berani mencuba untuk berubah, demi masa depan anak mereka.

Bagi ibu bapa yang bersikap positif dan ingin melihat anak mereka maju dalam pelajaran, menguasai bahasa ibunda dan bahasa Inggeris sahaja belum mencukupi. Sebab itulah sesetengah ibu bapa sanggup menghantar anak mereka ke pusat tuisyen untuk mempelajari pelbagai bahasa lain seperti bahasa Arab, Mandarin dan Tamil.

Kemampuan pelajar menguasai pelbagai bahasa dengan baik termasuk murid di peringkat sekolah rendah, bukanlah sesuatu yang mustahil dan terlalu sukar. Contoh paling nyata ialah pelajar kita yang melanjutkan pengajian di beberapa negara seperti Jepun, Russia, Jerman dan sebagainya. Mereka membuktikan mampu menguasai bahasa berkenaan dalam tempoh masa yang cukup singkat iaitu antara enam bulan hingga setahun.

Dalam kesungguhan pihak tertentu yang mahukan kerajaan menghentikan dasar PPSMI, kita harap mereka harus mengenal pasti kaedah alternatif terbaik bagi menggantikan dasar PPSMI, supaya pihak sekolah terus memberi penekanan serius dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan program pemantapan bahasa Inggeris.

Kita harus menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris amat penting untuk membolehkan pelajar kita bersaing di peringkat pengajian tinggi. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan memperkenalkan program Apex yang sudah tentu menggunakan bahasa Inggeris dengan meluas kerana kemasukan ke Universiti Apex turut dibuka kepada pelajar luar negara. Apakah mampu pelajar kita bersaing tanpa penguasaan yang baik dalam bahasa Inggeris?

Berita Harian Online: 19 September 2008

Tiada ulasan: