Selasa, 22 Julai 2008

Subjek vokasional ke sekolah harian

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran vokasional (MPV) akan diperluas ke sekolah harian di seluruh negara termasuk menambah pelbagai kemudahan berkaitan bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah terbabit memperoleh asas pengetahuan mengenai bidang berkenaan.

Antara subjek yang dikenal pasti ialah kejuruteraan mekanik, dandanan diri, katering dan automotif.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar sekolah harian yang cenderung kepada kemahiran mempelajari subjek itu berbanding subjek akademik sekali gus mengatasi masalah keciciran pelajar di peringkat sekolah menengah.

"Pada ketika ini, terdapat perkembangan positif bidang kemahiran di negara ini selain minat yang tinggi di kalangan pelajar bagi mempelajari subjek berkenaan.

"Saya percaya kemahiran dan pengetahuan yang disediakan akan memberikan masa depan lebih baik kepada pelajar kita khususnya untuk mereka terbabit dalam aktiviti keusahawanan. Peluang juga terbuka luas untuk mereka menyambung pelajaran di Kolej Komuniti, Pusat Giat Mara dan institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata langkah itu adalah antara usaha pihaknya menjenamakan semula pendidikan vokasional dan kemahiran di sekolah menengah seluruh negara.

"Kertas konsep penjenamaan semula itu sudah disiapkan dan akan dibentangkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada akhir bulan ini bagi mendapat komen, maklum balas dan penambahbaikan," katanya.

Katanya, selain itu, pihaknya akan berusaha menambah tempat supaya lebih ramai pelajar dapat mengambil subjek vokasional dan kemahiran di sekolah yang menawarkan bidang itu selepas melihat potensi cerah kedua-dua bidang itu untuk dikembangkan sebagai kerjaya, khususnya dalam bidang keusahawanan, pada ketika ini.

Berita Harian Online: 22 Julai 2008

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

harapan guru-guru mpv diberi elaun khas seperti guru di sekolah teknik vokasional

Tanpa Nama berkata...

ura-ura MPV nak ditarik balik dari sek men harian...harap2nya nasib cikgu MPV terbela...nanti diberi subjek2 lain yg bukan pengkhususan...sia2 aje kepakaran kami...:~(