Sabtu, 31 Julai 2010

Beri perhatian terhadap keselamatan pelajar

KUALA LUMPUR 30 Julai - Para guru diminta memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah termasuk selepas sesi persekolahan bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan risiko jenayah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom ketika membuat gesaan itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan keselamatan pelajar yang berada di kawasan sekolah.

"Guru haruslah memantau pelajar di kawasan sekolah termasuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran menghubungi ibu bapa untuk pulang dan memberi bantuan seperti menelefon penjaga atau ibu bapa pelajar tersebut.

"Pelajar yang berseorangan di kawasan sekolah selepas waktu sekolah, terdedah pada bahaya tertentu seperti jenayah penculikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pelajar di Besut, Nur Muni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, yang diculik ketika baru keluar dari pintu pagar sekolahnya pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Nur Muni Ainun Izzati diculik oleh seorang pemuda, 23, dan remaja berusia 15 tahun tetapi cubaan mereka gagal setelah kereta yang dinaiki terbabas ke dalam parit.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Dua suspek dalam kes itu kemudiannya ditahan polis dan kini direman seminggu untuk siasatan lanjut.

Alimuddin juga meminta para pengetua dan guru besar sentiasa mengingatkan pelajar mereka agar lebih berhati-hati terutamanya jika didekati oleh orang yang tidak dikenali.

Katanya, pelajar juga dinasihatkan supaya tidak berada bersendirian tetapi haruslah bergerak secara berkumpulan bagi mengurangkan risiko jenayah.

Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2010

Guru berpolitik beri sumbangan bangunkan negara

MARAN 30 Julai - Penglibatan guru siswazah dalam politik memberi peluang kepada golongan itu menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi membangunkan negara pada masa depan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohamed Arsad berkata, golongan itu secara tidak langsung membantu kerajaan kerana mereka mudah didampingi oleh semua golongan.

Menurutnya, pembabitan guru siswazah dijangka mengubah senario politik negara apabila guru tiada halangan lagi untuk aktif dalam politik yang sangat penting menentukan hala tuju kemajuan negara.

''Kalangan guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan.

''Kebenaran guru berijazah aktif dalam politik merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini mengambil bahagian melontar idea bernas sesuatu dasar negara untuk kebaikan rakyat, agama dan negara,'' katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, sebelum ini ramai kalangan guru siswazah di sekolah menengah dan rendah berminat untuk aktif dalam politik tetapi terhalang oleh beberapa kekangan mengikut Peraturan 21(2).

Tambah beliau, peraturan itu menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Mohamed Sabri berkata, KGMMB akan memastikan beberapa mekanisme dipatuhi supaya mana-mana guru yang aktif berpolitik tidak mengabaikan tugas hakiki mengajar di bilik darjah.

Katanya, mereka perlu mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2010

PRO KONTRA GURU BERPOLITIK

PENGLIBATAN guru dalam politik tentunya ada implikasi positif mahu pun negatif yang tersendiri. Dari sudut positif, keputusan ini sejajar dengan amalan demokrasi serta peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak kepada setiap warganegara untuk melibatkan diri dalam parti politik dalam negara.

Selain itu, para guru juga boleh memberi satu nafas baru dalam senario politik kepartian dalam. Keputusan ini juga memberi lebih pilihan kepada ahli parti serta rakyat untuk memilih pemimpin mereka agar benar-benar layak mewakili suara akar umbi serta berintegriti.

Dari sudut negatifnya pula, penglibatan guru dalam parti politik boleh menimbulkan suasana tidak harmoni sama ada di sekolah atau pun dalam masyarakat.

Cuba bayangkan apa akan berlaku jika seorang cikgu yang mengajar subjek Sejarah, menyatakan bahawa mata pelajaran Sejarah yang diajar itu tidak berasaskan fakta dan hanya untuk mempropaganda pemerintah semata-mata.

Sebagai contoh pejuang kemerdekaan sebenar bukannya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya Ibrahim Hj. Yaacob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan rakan-rakan mereka. Bukankah celaru namanya jika lain dalam buku teks, lain pula yang disyarah oleh para guru.

ABUYA HANDZALAH

Gombak Permai, Selangor


Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2010

Isu gengsterisme perlu dilihat secara holistik

2010/07/31

KUALA LUMPUR: Isu gengsterisme membabitkan pelajar perlu dilihat secara holistik bagi mengenal pasti sama ada masalah itu berpunca dari sekolah atau elemen luar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini kerana wujud kecenderungan untuk mengaitkan perbuatan remaja di luar kawasan sekolah dengan status mereka sebagai pelajar.

“Memang semua anak muda pada peringkat umur tertentu adalah pelajar sekolah, tetapi kita perlu melihat apa yang mendorong perlakuan mereka itu (gengsterisme)... mungkin ada kaitan dengan persekitaran mereka di luar sekolah,” katanya selepas majlis meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia ke Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini, semalam. Pada 26 Julai lalu, tiga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai di Ampang, cedera apabila dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai anggota kongsi gelap di depan sekolah mereka kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mahu pulang, apabila enggan menyerahkan sejumlah wang yang diminta kumpulan itu.

Akhbar semalam pula melaporkan polis mengenal pasti tujuh lelaki anggota kumpulan kongsi gelap berusia 25 hingga 30 tahun yang bergiat aktif merekrut pelajar sekolah untuk menjadi ahli kumpulan mereka di sekitar Ampang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong ketika dihubungi Berita Harian meminta semua pengetua mengambil tindakan proaktif bagi mengekang sebarang anasir yang membahayakan keselamatan pelajar atau mengganggu ketenteraman sekolah.

Sekiranya dikesan wujud gejala sedemikian, beliau menegaskan, laporan polis perlu dibuat segera melalui pegawai perhubungan polis yang sudah dilantik untuk setiap sekolah.

“Pada masa sama, pihak sekolah juga perlu memantau persekitaran di luar pagar sekolah demi memastikan keselamatan pelajar. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran memberi amaran bahawa tindakan tegas, termasuk boleh dibuang sekolah, akan diambil terhadap pelajar yang terbabit anasir jahat seperti kegiatan kongsi gelap,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pula menggesa polis segera bertindak menggempur kawasan panas kumpulan kongsi gelap yang dikenal pasti menjadikan pelajar sebagai sasaran rekrut baru kerana gejala itu dikhuatiri akan menjadi `duri dalam daging’ kepada sistem pendidikan negara.

“Ibu bapa semakin cemas dengan gejala yang amat membimbangkan ini kerana seolah-olah keselamatan pelajar sekolah tidak terjamin. Langkah `pemutihan’ kawasan panas itu perlu dilakukan dan pelajar terbabit harus dibantu dengan program pemulihan.

“Kerjasama bersepadu untuk membanterasnya amat penting, malah polis yang berkepakaran menangani jenayah wajar memberi pendedahan kemahiran asas kepada guru bagi mengenal pasti kewujudan gejala samseng di kalangan pelajar sekolah mereka,” katanya.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Kamarudin Md Ali, berpendapat beberapa kakitangan, terutama guru disiplin di sekolah yang dikenal pasti dalam kawasan panas kumpulan kongsi gelap, wajar dilatih sebagai polis sukarelawan untuk membantu menangani gejala gengsterisme yang membabitkan pelajar.

Berita Harian Online: 31 Julai 2010

Guru baru kesal pembahagian tugas warden asrama tidak adil

2010/07/31

SAYA rasa terpanggil untuk mengutarakan perkara ini selepas bertukar maklumat dengan rakan senior yang menjadi warden di asrama sekolah saya. Daripada maklum balas yang saya dapati sebahagian besar daripada mereka berasa tugas sebagai warden asrama adalah satu beban yang terpaksa mereka tanggung kerana guru lain tidak sanggup melakukannya.

Mereka terperangkap dalam tugas ini atas beberapa keadaan antaranya mahu berkhidmat di sekolah itu, mahukan tempat tinggal yang hampir dengan sekolah (ada kuarters), rumah dekat dengan sekolah atau guru baru.

Ada yang sudah menjawat jawatan ini hampir 10 tahun tanpa diganti dengan guru lain sedangkan di sekolah saya bertugas ini terdapat lebih 100 guru.
Sebagai guru baru di sekolah itu saya terima jawatan warden ini selepas diarah oleh pengetua walaupun saya tinggal agak jauh dari asrama. Pada mulanya saya berasa bertugas seminggu dua kali mungkin tidak mendatangkan banyak masalah.

Tetapi selepas tujuh bulan berlalu baru saya dapat mengesan beberapa kelemahan dalam agihan tugas dan tanggungjawab warden dengan guru lain di sekolah, guru mata pelajaran termasuk guru bertugas harian.

Warden bertugas memang bertanggungjawab terhadap keselamatan, kebajikan dan kesihatan pelajar asrama. Tetapi apa yang berlaku ialah apabila pelajar asrama yang mengadu tidak sihat atau memerlukan rawatan ke hospital sewaktu persekolahan, warden asrama akan dicari dan diminta menghantar pelajar ke hospital. Sedangkan pelajar yang tidak tinggal di asrama akan diurus oleh guru bertugas.

Sepatutnya pelajar asrama yang sakit sewaktu persekolahan mesti diambil tindakan oleh guru bertugas pada hari berkenaan sama seperti pelajar lain juga. Warden akan bertindak jika pelajar asrama jatuh sakit selepas waktu persekolahan sama ada petang, malam atau lewat pagi. Itu memang tanggungjawabnya.
Pernah seorang guru mempersoalkan kenapa beliau perlu datang satu malam untuk membimbing pelajar asrama sedangkan warden bertugas ada? Bukankah warden dibayar elaun untuk bertugas sebagai warden menjaga pelajar asrama?

Banyakkah elaun yang diterima warden itu sehingga semua perkara warden kena buat termasuk memberi bimbingan dalam mata pelajaran tertentu? Bukankah pelajar asrama itu pelajar mereka juga?

Warden asrama yang mendapat lantikan rasmi daripada Jabatan Pelajaran Negeri menerima elaun RM240 sebulan dengan tugas 24 jam sehari selama 30 hari. Dalam erti kata lain warden asrama menerima elaun RM8 sehari atau 33 sen sejam!

Saya mohon pihak Kementerian Pelajaran mencari satu formula yang komprehensif dalam usaha memperbaiki kebajikan warden asrama ini. Ada banyak aspek yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian segera. Jawatan Guru Warden Asrama yang tetap sudah lama diuar-uarkan tapi senyap tanpa berita. Adakah 33 sen sejam itu masih relevan dengan situasi masa kini?

WARDEN BARU,
Seremban

Berita Harian Online: 31 Julai 2010

Guru perlu bijak imbangi kepentingan politik, murid

Oleh Ridzuan Yop dan Ratinawati Rasidi
rencanabh@bharian.com.my
2010/07/31

Kebenaran aktif dalam parti suatu amanah, tanggungjawab bimbing rakyat laksana hak demokrasi

KEPUTUSAN membenarkan guru kembali terbabit dalam politik tentunya sudah diperhalusi oleh kerajaan kerana banyak implikasi yang mungkin timbul daripada kebenaran itu.

Memang ada kebimbangan di kalangan beberapa pihak, termasuk ibu bapa sejauh mana guru yang menyertai politik dapat mengimbangi tugas hakiki mereka sebagai pendidik dan pada masa sama memegang jawatan dalam parti.
Guru yang dibenarkan terbabit adalah pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang sebelum ini dihalang melalui Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Hanya selepas 17 tahun, mereka dibenarkan kembali terbabit dalam politik. Adakah keadaan politik semasa menyebabkan kerajaan membuat keputusan sedemikian atau hakikatnya memang dalam kalangan guru memang ramai yang berpotensi menjadi ahli politik berwibawa dan memiliki integriti sesuai dengan profesion mereka.

Pembabitan guru dalam arena politik tanah air bukanlah sesuatu yang baru, terutama sebelum merdeka. Mereka adalah pemimpin peringkat akar umbi yang berpengaruh dan dihormati di semua peringkat dan pandangan mereka sentiasa diambil kira ketika itu.

Dengan perubahan suasana politik yang semakin mencabar, adakah profesion perguruan dapat memastikan kelangsungan politik golongan pendidik? Apatah lagi dalam masyarakat yang semakin kompleks seperti Malaysia dengan kehendak rakyat yang pelbagai dan tidak terbatas.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pembabitan guru dalam dunia politik terutama yang memiliki ijazah sudah lama dibincang dalam kesatuan itu dan sudah sampai masa mereka dibenarkan menyertainya secara aktif.

Beliau berkata, sebelum ini memang ada golongan pendidik dan pegawai dalam kumpulan sokongan yang terbabit dalam politik, tetapi bukan guru dalam kategori DG41 hingga DG48 seperti yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, baru-baru ini.

“Kenapa tidak boleh guru berijazah menceburi bidang politik? Sebelum ini sudah lama kumpulan sokongan dalam bidang pendidikan terbabit dalam politik dan tidak ada sebarang masalah besar berlaku,” katanya.

Hashim berkata, guru dalam kategori itu berkelulusan tinggi serta memiliki ijazah dan mereka mempunyai banyak idea yang boleh diketengahkan untuk membantu parti politik yang mereka wakili, terutama dalam aspek kemasyarakatan sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pendidik.

Katanya, pembabitan guru dalam bidang politik bukan perkara baru, memang ada guru yang bergiat aktif dalam politik tetapi dibuat secara diam-diam berikutan peraturan yang dikenakan terhadap mereka.

Langkah itu membuka peluang kepada mereka bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa Ahad ini.

Ketika ini, hanya pegawai dalam kumpulan sokongan yang boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik memegang jawatan dalam parti.

Dengan kelonggaran ini, 140,000 guru kini dibenarkan aktif semula dalam politik iaitu satu jumlah yang agak besar.

Sehubungan itu, Hashim berkata, dalam apa jua keadaan, guru ini perlu mengekalkan integriti mereka, kerana suasana semasa politik negara semakin mencabar terutama wujudnya politik wang dan pertandingan merebut jawatan yang ada kalanya keterlaluan.

“Namun, saya percaya akan keikhlasan golongan guru ini. Berdasarkan profesyen mereka yang dihormati, setiap guru yang menyertai politik dapat menghindari gejala itu dan seterusnya menyumbang tenaga mereka kepada negara,” katanya.

Presiden Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berpendapat tidak ada salahnya guru bergiat aktif dalam bidang politik.

Beliau berasakan ia adalah hak individu dan semua orang boleh terbabit dalam bidang politik, termasuk guru.

"Guru DG41 hingga DG 48 adalah tenaga profesional yang mempunyai kemahiran dan kepakaran masing-masing. Tenaga mereka sepatutnya disatukan dalam arus pembangunan negara. Rugi jika tidak digunakan,” tegas beliau.

Mereka juga adalah pemimpin dan pengurus terlatih, sudah pasti kepakaran mereka ini adalah aset dan menjadi keperluan kepada organisasi setempat.

Pembabitan mereka juga dilihat mampu menambah baik interaksi dengan masyarakat.

“Tahap profesionalisme mereka juga mampu ditingkatkan tambahan mereka adalah golongan yang paling dekat dengan ilmu. Mereka mencerna dan seterusnya menyampaikannya kepada anak bangsa.

“Guru seharusnya dibenarkan menyertai politik. Ramai rakan sebaya mereka dari sektor lain berkecimpung dalam politik,” katanya.

Malah, kalau disingkap sejarah kemerdekaan negara, guru adalah golongan yang banyak menyumbangkan bakti demi memastikan negara bebas daripada penjajah.

Sebagai golongan terpelajar pada ketika itu, mereka mengetahui keadaan semasa dan mereka adalah antara kumpulan yang sedar mengenai perlunya rakyat untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Mohd Ali berkata, guru hendaklah dibenarkan mengisi ruang kemerdekaan, termasuk melalui saluran politik dan mereka tidak patut dihalang kerana golongan pendidik inilah yang banyak berjasa dan terbabit secara langsung dengan usaha memerdekakan negara.

Namun begitu, beliau mengharapkan guru bijak memisahkan antara tugas politik dengan mendidik anak bangsa dan tidak terbawa-bawa semangat berpolitik ketika melaksanakan tugas mendidik.

“Mereka perlu bijak mengimbangkan tugas serta masa agar tidak terjejas kredibiliti mereka sebagai pendidik anak bangsa yang diamanah,” katanya.

Beliau juga mahu Kementerian Pelajaran memantau dan membuat penilaian sama ada pembabitan mereka dalam politik tidak membebankan diri atau memberi tekanan sehingga menjejaskan tugas hakiki mereka.

“Pada peringkat awal ini terutama dalam tempoh tiga hingga lima tahun mereka seharusnya diawasi.

“Pemantauan perlu dibuat kerana jika didapati membeban dan menjejaskan kredibiliti perguruan, kebenaran itu patut dipertimbangkan semula.

“Secara peribadi saya melihat pembabitan guru mampu membantu generasi muda yang tidak mendaftar sebagai pemilih dapat ditarik untuk mendaftar.

“Kepakaran serta kemahiran menyampaikan maklumat yang mereka miliki juga mampu membantu rakyat memahami tanggungjawab sebagai pemilih,” katanya.

Berita Harian Online: 31 Julai 2010

Berunding selesai masalah

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my
2010/07/26

JIKA dulu guru dinobat golongan paling dihormati, kini semakin diperlekehkan dengan pelbagai isu remeh dan kurang menyenangkan.

BELAJAR DENGAN TENANG...biarlah guru menjalankan tanggungjawabnya tanpa ada tekanan.
BELAJAR DENGAN TENANG...biarlah guru menjalankan tanggungjawabnya tanpa ada tekanan.
sebelum - selepas
HARMONI...pelajar perlu memupuk hubungan harmoni dengan guru supaya masyarakat tidak memandang serong pada institusi persekolahan. SEPAKAT...warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlu sepakat mewujudkan suasana ceria di sekolah. APAKAH SEBABNYA...pelajar bermasalah mesti ada sebabnya, adakah hubungan hambar antara guru dan ibu bapa sebagai penyumbang?


HARMONI...pelajar perlu memupuk hubungan harmoni dengan guru supaya masyarakat tidak memandang serong pada institusi persekolahan.
Imej semakin tercalar apabila masyarakat kian berani mencabar, sekali gus mempertikaikan kewibawaan guru hingga pergeseran semakin parah.


Pelajar menjadi sasaran yang sering dipersalahkan sementara sekolah berada dalam dilema. Masing-masing cuba menegakkan kebenaran hingga mewujudkan suasana kurang harmoni dan mengganggu proses pembelajaran.


Ini gus mengundang persoalan, begitu mudahkah masyarakat memperkotak-katikkan institusi pendidikan negara? Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya UM), Profesor Dr Saedah Siraj berkata guru tonggak utama merencanakan proses pencarian ilmu manakala pelajar dan masyarakat mekanisme terpenting menyokong proses itu.


Menurutnya, proses pendidikan berjalan lancar seandainya kedua-dua pihak saling menyokong dan memudahkan matlamat melahirkan generasi cemerlang peribadi dan akademik.


"Perbalahan menyebabkan proses pendidikan terganggu selain merencatkan perancangan apatah lagi menimba ilmu perlu berlangsung secara harmoni dan tenang.


"Campur tangan tentunya memburukkan lagi keadaan dan merugikan semua pihak kerana ada yang tidak bersalah menjadi mangsa hingga mengundang tanggapan negatif pihak luar.


"Berbincang dan bersikap profesional agar semua pihak mendapat manfaat," katanya.


Mengakui bukan sukar mencari mekanisme 'mendamaikan' kedua-dua pihak, beliau menyarankan sikap berkecuali dan fokus pada tanggungjawab sebenar.


"Guru wajar diberi kepercayaan menjalankan tanggungjawabnya, masyarakat pula perlu percaya pada kemampuan guru. Jangan asyik mempertikaikan keputusan atau bersikap menyalahkan orang lain.


"Sukar melaksanakan tugasan jika sentiasa ditekan, justeru, bersikap adil dengan memberi ruang mencorakkan tanggungjawab masing-masing.


JIKA dulu guru dinobat golongan paling dihormati, kini semakin diperlekehkan dengan pelbagai isu remeh dan kurang menyenangkan.

BELAJAR DENGAN TENANG...biarlah guru menjalankan tanggungjawabnya tanpa ada tekanan.
BELAJAR DENGAN TENANG...biarlah guru menjalankan tanggungjawabnya tanpa ada tekanan.
sebelum - selepas
HARMONI...pelajar perlu memupuk hubungan harmoni dengan guru supaya masyarakat tidak memandang serong pada institusi persekolahan. SEPAKAT...warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat perlu sepakat mewujudkan suasana ceria di sekolah. APAKAH SEBABNYA...pelajar bermasalah mesti ada sebabnya, adakah hubungan hambar antara guru dan ibu bapa sebagai penyumbang?


HARMONI...pelajar perlu memupuk hubungan harmoni dengan guru supaya masyarakat tidak memandang serong pada institusi persekolahan.
Imej semakin tercalar apabila masyarakat kian berani mencabar, sekali gus mempertikaikan kewibawaan guru hingga pergeseran semakin parah.


Pelajar menjadi sasaran yang sering dipersalahkan sementara sekolah berada dalam dilema. Masing-masing cuba menegakkan kebenaran hingga mewujudkan suasana kurang harmoni dan mengganggu proses pembelajaran.


Ini gus mengundang persoalan, begitu mudahkah masyarakat memperkotak-katikkan institusi pendidikan negara? Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya UM), Profesor Dr Saedah Siraj berkata guru tonggak utama merencanakan proses pencarian ilmu manakala pelajar dan masyarakat mekanisme terpenting menyokong proses itu.


Menurutnya, proses pendidikan berjalan lancar seandainya kedua-dua pihak saling menyokong dan memudahkan matlamat melahirkan generasi cemerlang peribadi dan akademik.


"Perbalahan menyebabkan proses pendidikan terganggu selain merencatkan perancangan apatah lagi menimba ilmu perlu berlangsung secara harmoni dan tenang.


"Campur tangan tentunya memburukkan lagi keadaan dan merugikan semua pihak kerana ada yang tidak bersalah menjadi mangsa hingga mengundang tanggapan negatif pihak luar.


"Berbincang dan bersikap profesional agar semua pihak mendapat manfaat," katanya.


Mengakui bukan sukar mencari mekanisme 'mendamaikan' kedua-dua pihak, beliau menyarankan sikap berkecuali dan fokus pada tanggungjawab sebenar.


"Guru wajar diberi kepercayaan menjalankan tanggungjawabnya, masyarakat pula perlu percaya pada kemampuan guru. Jangan asyik mempertikaikan keputusan atau bersikap menyalahkan orang lain.


"Sukar melaksanakan tugasan jika sentiasa ditekan, justeru, bersikap adil dengan memberi ruang mencorakkan tanggungjawab masing-masing.

"Jika tidak puas hati, buat teguran, tetapi gunakan saluran betul bukan emosi. Ramai mudah melenting hingga tiada sikap profesional antara satu sama lain," katanya.


Dr Saedah berkata ibu bapa juga berhak menyuarakan rasa tidak puas hati.


Bagaimanapun, tindakan atau komunikasi terburu-buru boleh mewujudkan suasana keruh apatah lagi sekolah atau guru enggan bekerjasama.


"Ada yang bersikap prejudis hingga mencabar kesabaran ibu bapa. Berkomunikasi dengan baik, bina kerjasama untuk menjernihkan suasana. Penyelesaian perlu berpaksi pada kewarasan," katanya.

Perunding motivasi sebuah institusi pendidikan, Lukman Moidin pula berkata masyarakat perlu akur semua pihak berisiko terdedah kepada konflik.


Katanya, masyarakat perlu adil dalam mempersoalkan kredibiliti guru dan jangan menghentam sesuka hati hanya berdasarkan cerita sebelah pihak.


"Sesiapa saja boleh berdepan konflik, justeru, jangan bertindak melulu. Setiap institusi tentu ada saluran tertentu untuk menyelesaikan masalah.


"Rasa marah boleh menjatuhkan maruah dan pelajar menjadi mangsa kerana terpaksa berdepan sikap tidak profesionalisme orang dewasa.


"Ada ibu bapa suka memenangkan anak walaupun melanggar peraturan hingga 'naik lemak' dan besar kepala. Guru pula tercabar.


"Memburukkan lagi keadaan apabila kedua-duanya saling berbalah. Apabila dua pihak bertelingkah, apa terjadi pada institusi sekolah? "Sudah tentu matlamat mewujudkan generasi cemerlang akhlak dan peribadi gagal. Semaikan semula sikap saling menghormati, barulah harmoni hubungan," katanya yang turut menyarankan guru agar sentiasa bermuhasabah diri.


"Setiap pekerjaan ada tekanan, tapi jangan jadikannya punca persengketaan. Pelajar juga jangan ambil kesempatan mengeruhkan situasi," kata Lukman.

myMetro: 31 Julai 2010

Ustaz digantung kerja dua bulan

Oleh Alias Abd Rani

2010/07/31

KUCHING: Ustaz yang didakwa mengenakan hukuman pelik terhadap muridnya yang gagal menghafaz surah al-Quran di sebuah sekolah di Simunjan di sini, sudah dikenakan tindakan gantung kerja selama dua bulan.

Tindakan dikenakan selepas siasatan dalaman Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak mendapati guru lelaki berusia 27 tahun itu bertindak di luar batasan sebagai seorang pendidik dalam mengenakan hukuman kepada muridnya.


Siasatan mendapati guru berkenaan menggunakan batang penyapu untuk merodok dubur muridnya sebagai hukuman sehingga mencetuskan kemarahan ibu bapa seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.


Malah, siasatan yang selesai dijalankan beberapa hari lalu turut mendapati ustaz terbabit memang melakukan perbuatan itu di khalayak murid lain.


Menurut sumber, dakwaan ke atas ustaz berkenaan diperkuatkan dengan pengakuan daripada beberapa murid yang disoal siasat bahawa mereka melihat sendiri bagaimana ustaz berkenaan melakukan hukuman ‘pelik’ terhadap rakan sekelasnya.


Difahamkan, ustaz terbabit yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu dibebaskan dengan ikat jamin polis dan laporan lengkap sudah disiap sebelum dihantar kepada Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.


Kata sumber itu lagi, siasatan dalaman turut mendapati dua daripada enam murid lelaki didenda dengan dubur mereka dirodok batang penyapu manakala empat lagi dipukul.


“Ketika siasatan dijalankan, kebanyakan murid mengaku menyaksikan kejadian itu. Malah, mereka turut memberitahu menyaksikan perbuatan ustaz berkenaan,” katanya.


Difahamkan, kejadian berlaku awal Julai lalu dan hukuman dijalankan di depan murid lain namun perkara itu hanya diketahui seminggu kemudian.


Ini kerana, berdasarkan maklumat ibu bapa mangsa, mereka mendakwa perkara itu sudah dimaklumkan kepada guru besar sekolah itu terlebih dulu namun tiada tindakan diambil sebelum kes itu dibawa kepada Jabatan Pelajaran Daerah.


Muka depan Harian Metro Jumaat lalu memaparkan tujuh murid dengan salah seorang daripada murid perempuan sebuah sekolah di Simunjan terpaksa berdepan dengan rasa malu selepas didakwa dibogelkan di dalam kelas kerana gagal menghafal surah al-Quran seperti diarahkan.

Malah, mereka turut mendakwa sebaik diarahkan berbogel, ustaz itu kemudian mengambil batang penyapu lalu merodok ke dalam dubur murid berkenaan.


Akibat perbuatan itu, murid berkenaan memberitahu ibu bapa masing-masing sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Simunjan.


Laporan pertama diterima daripada ibu bapa murid perempuan manakala satu lagi dibuat ibu bapa lelaki dan susulan daripada itu, polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan 377 (C) (A) kerana mengadakan hubungan seks menggunakan objek.


Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Julaihi Bujang ketika dihubungi berkata, ustaz berkenaan ditahan kerja dua bulan tapi masih layak menerima gaji penuh.

myMetro: 31 Julai 2010

Jumaat, 30 Julai 2010

Guru berpolitik boleh imbangi politik partisan

JIKA disebut cikgu dibenarkan berpolitik banyak pihak mula panas, daripada ibu bapa hingga ke penggiat parti politik. Apa tidaknya, jika selama ini guru dijadikan sasaran badan bukan kerajaan dan parti politik untuk membangkitkan segala isu antara guru-guru dan penjaga murid, kini mereka ada 'kubu' untuk berjuang.

Guru jangan dibiarkan terkapai-kapai sendirian akibat campur tangan orang luar. Akibat hendak mengajar orang menjadi orang mereka menjadi mangsa ditukar ke sana-sini oleh pihak terbabit.

Langkah membenarkan guru berpolitik bukan perkara baru tetapi diberi nafas baru. Sejarah guru dengan politik bukan perkara asing.

Pejuang-pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union terdiri dari golongan guru yang lulus dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.

Kalau disebut siapa pemimpin dari lulusan maktab ini, sesungguhnya majoriti adalah dari sini. Mereka berjuang dan menyinsing lengan mengangkat sepanduk zaman Malayan Union dan bermain dengan tinta meniup semangat kemerdekaan di kalangan rakyat dan cukuplah golongan ini dihalang dari menjadi seorang ahli parti politik yang hakiki.

Tepat benar pada masanya jika kerajaan ingin menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Inilah masa yang paling sesuai guru-guru memenuhi masa terluang berpolitik demi masa depan anak-anak bangsa yang seakan-akan sudah lupa dengan asas kenegaraan Malaysia.

Pihak-pihak yang menjolok Perlembagaan Malaysia ibarat sarang lebah yang menyimpan hak-hak istimewa orang Melayu perlu disedarkan bahawa kemakmuran negara bukan kerana agihan kekayaan negara berdasarkan sejarah semata-mata tetapi prinsip perkongsian itu sendiri.

Tiada pihak yang lebih sesuai selain dari guru untuk menerangkan mengapa kita menjadi negara yang masyarakatnya majmuk, mengapa negara ini aman sedangkan perbezaan setiap bangsa dan etnik begitu ketara dan mengapa anak-anak Melayu perlu memahami kepentingan mengundi dan apa itu sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Pada masa guru-guru bangsa lain berjuang atas nama persatuan bukan kerajaan, guru-guru Melayu masih berpolitik kepartian di ceruk-ceruk kedai kopi dan kantin.

Apa yang lebih menyedihkan bangsa Melayu yang dikatakan memahami sejarah dan menganggap diri mereka majoriti senyap, langsung tidak sedar sekelumit pun bahawa jika mereka memilih untuk memberi undi kepada pihak yang dikatakan lebih suci dari tawas, sebenarnya perbuatan mereka amat jijik kerana sanggup menggadaikan perjuangan datuk dan nenek mereka semenjak dijajah 446 tahun dahulu.

Guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan.

Pejuang seperti Allahyarham Tun Ghafar Baba (mantan Timbalan Perdana Menteri) bukan sahaja dihormati kawan, malah dihormati oleh lawan kerana karisma yang terserlah. Pemimpin agong begini yang ingin kita gali dalam diri guru-guru serata negara ini.

Di luar sana guru-guru menjadi kurang dihormati kerana baju kebal dari parti politik tidak melindungi mereka. Kes guru menghukum murid dan cikgu pula dibelasah ibu bapa berlaku di negara ini.

Guru ditekan untuk ditukar sekolah oleh parti politik yang menjadi juara isu tetapi sebenarnya hampas, sedang anak murid yang biadap tidak dihukum, bila dewasa nanti kelak akan bertukar status menjadi manusia yang menjadi sampah masyarakat.

Politik dan manusia bukan perkara ganjil. Jika tidak dibenarkan sekalipun, guru tetap akan berpolitik secara sembunyi-sembunyi. Di kelas ada sahaja pendapat yang mengkritik si polan dari parti si polan hingga anak murid pun ternganga akibat disampaikan dakyah politik yang kononnya bersumberkan hadis dan fakta ekonomi.

Guru sepatutnya mengajar murid bagaimana hendak belajar dan apabila tiba waktu berpolitik biarlah ia terhad kepada cerita politik yang positif dan tidak perlu rujukan yang kronik hingga ada majoriti senyap kalangan kakitangan awam mula mengganggu kempen dengan kenyataan mereka yang ada udang di sebalik batu.

Biarkan guru berpolitik kerana sudah sampai masanya orang politik yang jahil akan sejarah Negara dan Perlembagaan diajar oleh guru.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor


Utusan Malaysia Online: 30 Julai 2010

Khamis, 29 Julai 2010

Pengajar SBP kecewa JPN ketepi senior untuk naik pangkat

2010/07/28

SAYA ingin mendedahkan rasa ketidakpuasan hati kami guru Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di atas nasib kami dari segi kenaikan pangkat.

Rata-rata guru senior ketinggalan dalam proses kenaikan pangkat berbanding guru di sekolah harian. Tidak menunggu begitu lama untuk menjadi pengetua mahupun pegawai di pejabat pendidikan daerah (PPD) mahupun Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Setiap kali ada kekosongan jawatan pengetua di SBP, orang yang akan mengisi jawatan adalah pengetua dari sekolah harian. Bagaimana, nasib Guru Penolong Kanan (GPK) yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun, tidak diberikan peluang langsung mengisi jawatan berkenaan.
Hendak tunggu dilantik ke pengetua sekolah harian, jauh panggang dari api, kerana pihak JPN lebih mengutamakan calon mereka. Tidak mustahil jika guru di SBP dipenuhi oleh guru baru kerana yang senior sudah bertukar bagi memudahkan kenaikan pangkat.

Begitu juga dengan kenaikan dari segi guru cemerlang. Kebanyakan guru cemerlang dari sekolah harian. Adakah guru di SBP ini tidak layak menjadi guru cemerlang disebabkan pelajar terpilih?
Kami bekerja siang malam demi menghasilkan pelajar yang cemerlang dan adakah ini dilaksanakan oleh guru cemerlang di sekolah harian? Rata-rata guru cemerlang sekolah harian lebih selesa memberikan seminar di sekolah orang lain bagi memenuhkan kocek mereka.

Mereka ini juga tidak perlu memperoleh keputusan yang cemerlang, cukuplah hanya sedikit peningkatan saban tahun. Di manakah nasib kami ini akan dibela?
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tiada masa hendak melayan kami guru SBP yang tidak sampai 5,000 orang. Tidak mustahil, setiap kali sistem e-pertukaran, guru di SBP yang paling ramai akan memohon pertukaran. Hasilnya, ramai yang kecewa tidak dapat bertukar ke sekolah harian.

Sudahlah kenaikan pangkat payah, memegang jawatan guru cemerlang jauh sekali mohon pindah pun tidak dapat. Saya merayu pihak yang mempunyai pengalaman berkhidmat di SBP mendengar luahan hati dan memberikan sedikit ruang untuk membela nasib kami.

GURU LAMA DI SBP,
Perak

Berita Harian Online: 29 Julai 2010

Hanya guru dibenar berpolitik


Najib Tun Razak melihat gambar keluarganya selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai kumpulan siswazah selain daripada bidang pendidikan terbabit dalam politik.

Perdana Menteri berkata, ini bagi mengelak timbul konflik kepentingan kerana mereka mempunyai kuasa eksekutif berbanding mereka dalam profesion perguruan.

"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa memegang jawatan (terlibat politik), macam guru ini mereka mendidik jadi tidak ada kuasa eksekutif, tidak berlakulah konflik kepentingan.

"Jadi kita mula dengan kumpulan guru dahulu selepas itu kita tengok sama ada wajar ia wajar diperluaskan pada bidang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Najib mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bahawa mulai 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan terlibat dalam politik.

Ia berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu berperanan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Tentang kemungkinan wujud suasana berpuak-puak di sekolah apabila guru aktif berpolitik, Najib berkata, perkara itu mungkin berlaku tetapi boleh dibendung.

"Saya melihat langkah ini boleh mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air sebab kita hendak guru-guru menyumbang dari segi kepimpinan bersifat keintelektualan di peringkat akar umbi.

"Mereka ini golongan disegani kerana memiliki kelulusan dan pengetahuan yang lebih daripada kelompok lain dan kepimpinan mereka lebih diterima kerana bersandarkan kepada keilmuan dan kedudukan dalam masyarakat," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan para guru agar tidak mengabaikan tugas utama sebagai pendidik atau membelakangkan arahan jika memegang jawatan politik sebaliknya menghormati struktur kepimpinan dalam sekolah dan jabatan.

Menurutnya, tugas seorang guru yang tidak bersifat material membolehkan mereka menyumbang kepada pembentukan akhlak yang lebih baik.

"Saya tidak fikir guru akan bersikap keterlaluan walaupun ada jawatan politik kerana mereka daripada golongan yang dewasa dari segi pemikiran sebab itu dari dulu pun tidak berlaku perpecahan dalam sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2010

Jangan bawa politik ke bilik darjah - TPM

SEOUL 28 Julai - Guru-guru diberi amaran supaya tidak membawa fahaman politik masing-masing ke dalam bilik darjah berikutan keputusan kerajaan membenarkan mereka berpolitik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ada laporan mengenai perkara tersebut tindakan akan diambil terhadap guru-guru yang terlibat kerana melanggar pekeliling kerajaan.

Tegasnya, kebenaran kepada guru untuk berpolitik tidak seharusnya memberi kesan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana ia merupakan tugas hakiki mereka yang perlu diutamakan.

"Itu satu tanggungjawab utama yang guru mesti sempurnakan. Tidak ada kompromi dari segi pelajaran di Malaysia. Ibu bapa mahu anak mereka dididik secara dedikasi.

"Kalau guru ada masa dan mahu membantu masyarakat, dengan kebenaran ini bolehlah mereka beri sumbangan tetapi perlu ada keseimbangan dari segi tanggungjawab rasmi dan tidak rasmi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu hanya untuk guru dan bukan penjawat awam lain kerana tempoh mengajar adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 2 petang dan golongan pendidik mempunyai masa jika mahu menyumbang tenaga kepada masyarakat.

"Ini suatu keputusan yang sebenarnya mempunyai kebaikan kerana kalau ikut sejarah, peranan guru dalam masyarakat sejak dahulu dihargai, lebih-lebih lagi dalam masa sekarang, guru perlu menjadi pemimpin dalam masyarakat.

"Mereka mempunyai masa selain mengajar dan di luar waktu itu boleh berbakti kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya, terpulang kepada guru untuk menyokong mana-mana parti politik, namun sebagai kakitangan awam beliau berharap mereka membantu serta menyokong program-program yang dijalankan kerajaan.

"Apabila kita sudah benarkan, perkara ini memang sudah diberi pertimbangan. Kita tidak boleh diskriminasi walaupun harapan kita sebagai kerajaan mereka akan sokong kita, namun itu kita tidak boleh sekat," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kebenaran itu bukan diberi secara automatik sebaliknya guru-guru perlu membuat permohonan daripada Ketua Setiausaha Negara untuk apa-apa jawatan yang hendak disandang.

"Diharapkan mereka faham, bantu kerajaan Barisan Nasional (BN), saya fikir syarat terperinci akan diumumkan oleh Kementerian Pelajaran nanti," jelasnya. - Utusan

Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2010

Guru aktif politik perlu sekatan mengikut tugas

KEBENARAN diberi kepada guru-guru kategori DG41-DG48 aktif politik merupakan satu lagi 'bonus' diberi kepada golongan pendidik. Kenapa begitu berminat sangat mereka kepada politik hanya individu yang berkenaan sahaja boleh menjawab. Tak bolehkah mereka berkhidmat kepada rakyat melalui gerakan atau pertubuhan yang lain?

Jasa kaum guru pada era penentangan terhadap penjajah dan seterusnya ke era menuntut kemerdekaan tidak dapat dinafikan. Mereka merupakan penggerak strategi di samping penglibatan para wartawan.

Hal ini berlaku kerana mereka berjawatan dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kurang kita dengar penoreh getah atau petani yang berperanan sebagai 'ketua' dalam gerakan seperti ini.

Sesungguhnya jasa para guru dan wartawan sebagai pejuang terdahulu sangat besar. Jasa mereka tak patut dilupakan. Namun era sekarang telah berubah. Tidak ada lagi penentangan terhadap penjajah. Tidak ada lagi penentangan untuk kemerdekaan.

Cerdik pandai bertambah dan bercambah di sana sini dalam pelbagai bidang. Banyaknya persatuan dengan pelbagai nama dan berjuang atas nama pembangunan. Jadi, adakah persatuan atau pertubuhan sebegini tidak layak lagi 'glamour' dianggotai oleh para guru?

Arahan perintah am menghalang kakitangan peringkat tinggi menyertai politik. Begitu juga terhadap jawatan-jawatan yang berkepentingan walaupun kakitangan itu berada di taraf N27 dan seumpamanya. Kenapa arahan ini dikenakan? Antaranya supaya tidak berlaku konflik tugas.

Dalam pemilihan jawatan dikhuatiri berlaku lobi melobi. Yang mempunyai 'kelebihan tertentu' pasti menggunakan jawatannya untuk menarik penyokong. Perkara sebegini adalah tidak sihat dan pasti menimbulkan kekecewaan kepada yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. Untuk mendapat sokongan pastinya tipis.

Sehubungan dengan itu, walaupun kategori DG41-48 dibenarkan, tetapi hendaklah diadakan sekatan. Bukan semua pegawai kategori tersebut bertugas di sekolah. Ada yang bertugas di peringkat kementerian, jabatan, di Pejabat Pelajaran Daerah dan pengetua sekolah.

Faham-faham sajalah apabila mereka mempunyai kuasa membuat keputusan atau boleh mempengaruhi kepada keputusan.

Akhirnya saya cadangkan mereka yang berjawatan di peringkat pengurusan tidak dibenarkan terlibat secara aktif dan memegang apa-apa jawatan dalam politik. Hal ini untuk mengelakkan konflik kepentingan. Syorkan mereka bergiat dalam persatuan-persatuan belia dan seumpamanya.

PESARA TUA

Rawang, Selangor


Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2010

Pelajar rakam aksi lucah di surau

oleh M Hifzuddin Ikhsan

2010/07/29

KUCHING: Belumpun reda isu aksi panas artis Indonesia, Ariel dan Luna, orang ramai di negeri ini digemparkan pula dengan penyebaran adegan seks oral membabitkan dua pelajar Tingkatan Dua di Bintulu, Sarawak.

Lebih memeranjatkan pelajar terbabit yang berpakaian sekolah melakukan adegan seks oral di surau sekolah mereka, dengan klip videonya disebarkan secara meluas melalui internet dan telefon bimbit mulai awal bulan lalu.

alah, lencana sekolah juga dapat dilihat pada tudung pelajar perempuan yang sudah menanggalkan kainnya, manakala pelajar lelaki yang berdiri dipercayai merakam adegan itu sendiri menggunakan telefon bimbitnya.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika semua guru menghadiri mesyuarat hujung tahun dengan kehilangan mereka tidak disedari rakan lain.

Aksi itu dipercayai dirakam, tahun lalu, namun ia hanya tersebar melalui internet, baru-baru ini, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Difahamkan, pelajar wanita itu sudah berpindah lain ke sekolah di Kuching akibat terlalu malu, sementara pelajar lelaki terbabit masih menuntut di sekolah sama.

Katanya, ada pihak memuat turun rakaman itu ke internet menyebabkan ia kembali menjadi tumpuan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu sudah lama berlaku dengan tindakan tegas sudah diambil ke atas dua pelajar berkenaan.

Berita Harian Online: 29 Julai 2010

Usah mansuh UPSR, PMR

2010/07/28

KETIKA ini sibuk diperkatakan mengenai sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pemeriksaan Menengah Rendah (PMR) patut dimansuhkan. Saya berharap pihak berkewajipan mendengar pandangan rakyat sebelum membuat keputusan.

Kerajaan mempunyai kuasa untuk memutuskannya, tetapi kerajaan akan menjadi lebih bijaksana sekiranya mengambil kira pandangan yang diberi.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan perjumpaan antara pihak berkuasa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bagi membincangkan hal ini.
Saya ingin memaklumkan kepada pihak yang berkuasa supaya mengambil kira pandangan seorang murid Tahun Lima. Murid ini menyatakan kepada saya bahawa sekiranya tidak ada peperiksaan UPSR maka dia tidak akan belajar bersungguh-sungguh.

Katanya lagi, dia tidak perlu belajar bersungguh-sungguh kerana tidak ada peperiksaan, dan dia tidak perlu bertanding dengan rakan sedarjah.

Cubalah saudara tanya pula pelajar di Tingkatan Dua dan Tiga sama ada PMR patut dimansuhkan. Pandangan budak yang benar seperti ini perlu diambil kira.

DATUK PROFESOR DR HASHIM YAACOB,
Petaling Jaya, Selangor

Berita Harian Online: 29 Julai 2010

Guru harus bezakan politik dan profesional

Guru harus bezakan politik dan profesional


2010/07/28

PENGUMUMAN berhubung kebenaran untuk guru siswazah gred DG41 hingga DG48 berpolitik oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sewajarnya disambut baik dengan fikiran yang positif.

Hal ini secara tidak langsung menjadi lampu hijau yang diberikan kepada guru siswazah untuk menceburkan diri dalam dunia siasah yang kian mencabar pada hari ini.

Keprihatinan dan keikhlasan Perdana Menteri menghargai jasa dan sumbangan guru amat wajar disokong oleh guru siswazah di seluruh pelosok tanah air.
Kita semua sedia maklum bahawa sebelum pengumuman ini dibuat, ada sesetengah guru siswazah yang sudah sekian lama membabitkan diri dalam parti politik sama ada sebagai setiausaha, naib pengerusi atau ahli biasa.

Guru siswazah perlu diingatkan bahawa sebagai penjawat awam yang menikmati gaji bulanan daripada kerajaan dan membabitkan diri dalam dunia politik tanah air seharusnya menyokong 100 peratus parti yang memerintah negara sekarang.

Dalam hal ini, pesanan dan nasihat mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, adalah tepat dan relevan. Beliau bersetuju agar guru siswazah menceburkan diri dalam dunia politik semasa negara tetapi perlu membetulkan niat dan hala tuju masing-masing bahkan tidak sekali-kali menangguk di air yang keruh berikutan pelbagai krisis politik semasa negara.

Selain itu, guru siswazah tidak boleh sama sekali mengabaikan tanggungjawab mereka yang utama, iaitu mendidik dan mengajar muridnya di sekolah. Kementerian Pelajaran semestinya tidak akan memaafkan guru siswazah yang sengaja membiarkan anak muridnya terabai apabila guru mereka sibuk berpolitik.
Usahlah guru menjadi seperti Pak Kaduk kerana anak murid pada ketika ini adalah modal insan negara yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan negara pada masa hadapan. Sejarah negara membuktikan bahawa guru pada zaman pramerdeka begitu banyak menabur bakti baik dari segi wang, tenaga, mahupun wang demi memastikan kemerdekaan negara dapat dicapai.

Persoalannya, adakah guru sekarang sanggup berjuang bermati-matian demi maruah bangsa dan negara daripada dijajah semula? Sukar dikenal pasti guru yang benar-benar ikhlas berjuang demi memastikan martabat negara terus kekal terpelihara.

Ini kerana ada guru siswazah yang menjadi penjawat awam tetapi pada masa sama amat cenderung untuk menyokong parti pembangkang bahkan ada pula yang secara terang-terangan menghentam kepemimpinan negara sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Dalam hal ini, peranan pengetua, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri sekali lagi akan dituntut untuk memantau mana-mana guru yang antikerajaan sebaik-baik saja kerajaan mewartakan arahan untuk membenarkan guru siswazah aktif berpolitik.

Semua guru siswazah harus bersama-sama kerajaan untuk turun padang bertemu orang kampung dan menyelami hati budi mereka secara kolektif. Setiap guru memainkan peranan yang cukup besar untuk merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

NANA,
Kota Bharu, Kelantan

Berita Harian Online: 29 Julai 2010

Minda Pengarang: Usah abai tugas di sekolah bila sudah berpolitik

2010/07/28

PEMBABITAN guru dalam arena politik tanah air bukanlah sesuatu yang baru. Ketika era sebelum kemerdekaan, guru adalah pemimpin politik yang aktif di pelbagai peringkat, tidak kira di kampung mahupun bandar. Sebagai golongan yang rapat dengan masyarakat, mendidik anak watan dan dianggap terpelajar pada ketika itu, pendapat dan pandangan mereka cukup berpengaruh dan dihormati. Profesion keguruan disanjung tinggi sehingga ke hari ini, walaupun kadang-kadang mereka berdepan dengan pelbagai tohmahan dan cabaran. Keputusan kerajaan membenarkan semula guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 bergiat kembali dalam arena politik seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, kelmarin tentunya disambut baik semua pihak, khususnya pendidik. Langkah itu membuka peluang kepada mereka bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa 1 Ogos ini. Ketika ini, hanya pegawai dalam kumpulan sokongan saja yang boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik memegang jawatan dalam parti, dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Tidak dinafikan, memang ada guru bergiat dalam politik secara diam-diam bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan. Ia berdasarkan kepada Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Dengan kelonggaran ini, 140,000 guru kini dibenarkan aktif dalam politik selepas 17 tahun mereka tidak membenarkan berbuat demikian. Kita percaya ramai di kalangan guru yang berminat mempunyai bakat besar dalam bidang politik tetapi terhalang oleh peraturan yang ditetapkan. Rata-rata guru dalam kategori gred itu berkelulusan tinggi, berpengalaman dan mempunyai banyak idea untuk disumbangkan kepada masyarakat melalui saluran politik. Guru adalah golongan paling rapat dengan generasi muda iaitu murid dan pelajar di sekolah. Keadaan itu membolehkan mereka menyampaikan mesej, dasar serta aspirasi negara dengan lebih mudah. Guru juga lebih dekat dengan masyarakat dan dapat melaksanakan serta merancang pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat.

Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan tidak bermakna mereka boleh mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik. Guru harus sentiasa bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan berpolitik hingga ke sekolah. Kita bimbang, jika terlalu ghairah berpolitik dan gagal mengimbangi keadaan ini, yang akan rugi adalah pelajar dan anak bangsa sendiri. Mereka juga tidak wajar menghasut atau mempengaruhi pelajar supaya menyokong mana-mana parti. Sikap mencampuradukkan politik dengan tugas sebagai pendidik akan menjejaskan pelajaran pelajar dan masa depan mereka. Jika itu berlaku, ibu bapalah yang paling runsing dan kecewa. Walau apapun pegangan dan fahaman politik seseorang guru, mereka perlu melaksanakan agenda kerajaan atau pemerintah semasa. Jika ia gagal dilaksanakan akibat terlalu ghairah berpolitik, agenda pembangunan mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Guru dilihat sebagai golongan yang memiliki integriti. Selain itu, kita juga tidak mahu profesion guru tercemar dengan gejala politik wang serta perebutan jawatan secara keterlaluan.

Berita Harian Online: 29 Julai 2010

Tiada siapa berani bantu

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/07/29

AMPANG: “Saya bersama seorang rakan dipukul dengan kayu selain dibelasah beramai-ramai hanya kerana enggan mengikut arahan mereka,” kata seorang pelajar sekolah menengah di sini yang cedera akibat enggan membayar wang pelindungan kepada sekumpulan 30 lelaki dipercayai samseng kongsi gelap, Geng 30.

MANGSA...pelajar berusia 15 tahun yang cedera dibelasah ahli kongsi gelap di sekolahnya, Isnin lalu.
MANGSA...pelajar berusia 15 tahun yang cedera dibelasah ahli kongsi gelap di sekolahnya, Isnin lalu.
LUKA...kecederaan pada kepala mangsa.
LUKA...kecederaan pada kepala mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin lalu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Cheah, 15, berkata, dia dan rakannya baru keluar dari pintu pagar sekolah apabila didatangi kumpulan lelaki itu yang menaiki dua motosikal dan lima kereta.

“Mereka menghampiri kami membawa kayu dan memegang kami sebelum membawa ke arah kenderaan mereka yang diletakkan berhampiran.

“Tanpa sebarang amaran seorang daripada mereka menghayunkan kayu ke arah badan kami sebelum mereka beramai-ramai membelasah kami.

“Mereka berang kerana tidak mempedulikan arahan supaya membayar wang pelindungan yang disampaikan melalui seorang pelajar tingkatan dua empat hari sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakannya dibelasah hampir setengah jam tanpa belas kasihan, manakala seorang lagi rakan sebaya yang cuba menenangkan anggota kumpulan kongsi gelap itu turut menjadi mangsa belasahan.

Katanya, mereka merayu kumpulan penyerang itu supaya tidak membelasah mereka, namun tidak diendahkan.

Malah, katanya, tiada sesiapa berani membantu walaupun mereka menjerit meminta tolong sebelum kumpulan itu beredar.

“Polis tiba di tempat kejadian kemudian membawa kami mendapatkan rawatan di Hospital Ampang. Kami cedera di kepala, badan dan tangan,” katanya yang membuat laporan polis pada hari kejadian.

Dia turut mengadu kejadian itu kepada Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat, di Pandan Indah, dekat sini, semalam.

Petugas Khas Ahli Parlimen Pandan, Cindy S K Leong berkata, pihaknya bimbang dengan penularan aktiviti kongsi gelap di sekolah kerana boleh mewujudkan generasi samseng di kalangan remaja.

Menurutnya, pihak pusat khidmat berkenaan sudah mendapat maklum balas daripada pihak sekolah berhubung kejadian itu dan difahamkan seorang pelajar tingkatan dua disyaki ahli kongsi gelap sudah dibuang sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti tujuh suspek sebagai dalang utama kejadian itu.

“Pihak polis sudah menyiasat sama ada suspek bekas pelajar sekolah itu dan mangsa turut mengenalinya.

“Setakat ini, polis sudah pergi ke rumah suspek, namun mereka tiada di rumah dipercayai melarikan diri daripada diberkas.

“Polis sedang menjalankan gerakan memburu semua suspek dan tidak menolak kemungkinan kumpulan itu merekrut ahli di kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi perbuatan memiliki senjata maut dalam rusuhan.

myMetro: 29 Julai 2010

21 pelajar hamil luar nikah

2010/07/29

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang dikesan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, 12 daripadanya berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar.


“Siasatan kementerian menunjukkan 20 kes berdasarkan suka sama suka antara pasangan manakala satu kes membabitkan kes rogol,” katanya.


Ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman di persidangan Dewan Negara di sini, semalam, beliau berkata, semua kes berlaku dalam kawasan perumahan masing-masing.


Menurut beliau, maklumat itu diperoleh daripada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah-sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


“Sebagai usaha menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan,” katanya.


Beliau berkata, kebanyakan kes berlaku kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga.


“Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga supaya lebih prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka,” katanya. - Bernama

myMetro: 29 Julai 2010

Rabu, 28 Julai 2010

Kementerian perlu ada formula alternatif

PUTRAJAYA 27 Julai - Kementerian Pelajaran digesa menyediakan satu formula alternatif jika mahu memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pada masa sama, timbul pandangan supaya kedua-dua peperiksaan itu tidak dimansuhkan sebaliknya penaksiran semula dibuat agar UPSR dan PMR dijadikan asas penilaian untuk menentukan kualiti pendidikan di negara ini.

Itu antara pandangan yang dikemukakan oleh panel Mesyuarat Sidang Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR yang berlangsung buat kali kedua di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan yang perlu diteliti Kementerian Pelajaran sebelum keputusan pemansuhan dimuktamadkan.

Sejak cadangan pemansuhan disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelbagai reaksi diterima daripada pihak berkepentingan. Namun, Sidang Meja Bulat pertama 20 Julai lalu cenderung ke arah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, ada peserta panel menolak pemansuhan dengan alasan perlu ada kaedah lain yang dapat menggantikan peperiksaan sedia ada.

''Ada yang setuju ada yang tidak, yang keduanya ada yang setuju tapi mereka kata ada kelemahannya maka kita ubah suai, ada yang nyatakan kita hapus UPSR tapi jangan PMR dan sebaliknya.

''Jadi macam-macamlah, tadi kita tidak bincang tentang keputusan, cuma masing-masing beri pandangan tersendiri, mungkin kementerian hendak adakan perbincangan selepas ini untuk buat tapisan," kata Abdul Rahman kepada pada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.

Menurut beliau, terdapat cadangan agar kemahiran teknikal diperkenalkan selepas UPSR tanpa perlu menunggu selepas tingkatan empat kerana masanya terlalu singkat.

Pada mesyuarat hari ini, seramai 75 orang yang mewakili parti politik, media, institusi pengajian tinggi (IPT), tokoh pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan hadir pada sesi kedua Mesyuarat Sidang Meja Bulat berkenaan.

Pertemuan empat jam itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan semua yang hadir turut diberi taklimat berhubung matlamat asas UPSR dan PMR oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datuk Dr. Salbiah Ismail.

Sementara itu, Prof. Emeritus Datuk Isahak Haron dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI berkata, kedua-dua peperiksaan itu tidak perlu dimansuhkan tetapi perlu diubah pendekatan serta fungsinya.

''Ini kerana fungsi sekarang lebih berorientasikan peperiksaan.

''Jadi, kita kekalkan UPSR dan PMR berdasarkan pendekatan rujukan norma yang sedia ada di samping mengekalkan fungsi pendidikan di sekolah sebagai alat pemilihan (education and exam for selection) seperti sekarang," katanya.

Ishak yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu mencadangkan UPSR dan PMR dikekalkan sebagai peperiksaan awam tetapi penaksirannya dibuat berdasarkan 'standard-based assesment' ke arah menentukan kualiti pendidikan negara.

''Atau pun mansuhkan UPSR dan PMR dan biarkan sekolah masing-masing melaksanakan peperiksaan atau penaksiran. Namun dalam soal ini tidak ada peperiksaan atau penaksiran awam untuk melihat secara makro sejauh mana pelajar kita menerima pendidikan yang diharapkan," katanya.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga dan Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Poh Chin Chua pula berpendirian bahawa pendidikan peringkat rendah memerlukan satu sistem penilaian standard untuk seluruh negara memandangkan keadaan yang unik di negara ini.

''Jadi, sebelum UPSR dimansuhkan, Kementerian Pelajaran seharusnya mengumumkan satu formula alternatif yang baru agar masyarakat umum dapat meneliti dan mengkaji secara mendalam, lantas mengemukakan maklum balas yang membina untuk rujukan kementerian pula," katanya.

Kata Chin Chua, Kementerian Pelajaran tidak harus membuat keputusan tergesa-gesa mengenai pemansuhan UPSR.

Malahan kementerian seharusnya mengumumkan formula alternatif terlebih dahulu dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh dan seterusnya menggubal satu formula alternatif yang diterima secara umum.

''Keputusan sama ada UPSR dimansuhkan atau tidak boleh ditetapkan kemudian. Sebelum terhasilnya formula alternatif baru yang mendapat sokongan umum, seluruh masyarakat persatuan kami dengan tegasnya tidak menyetujui langkah kementerian memansuhkan UPSR," katanya.

Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri T. Marimuthu berkata, kedua-dua peperiksaan terutamanya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

''Kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menjalankan kajian terperinci terlebih dulu berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan dan mencari sistem alternatif yang lebih baik sekiranya mahu memansuhkannya.

Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2010

Tiada salah guru aktif berpolitik asalkan bersikap profesional

BERPOLITIK bagi golongan guru bukanlah baru. Sejarah pejuang bangsa untuk memerdekakan tanah air ini dahulu pun terdiri daripada kalangan pendidik, malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.

Kelibat guru dalam politik berkurangan apabila larangan ke atas kumpulan pengurusan dan pegawai kerajaan kumpulan A termasuk guru berijazah dibuat pada tahun 1990-an.

Kini, bermula 1 Ogos depan, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik. Berita baik ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

Pembabitan semula kumpulan guru ini dalam bidang politik dilihat mampu melahirkan idea baru, tambahan pula mereka dekat dan dihormati masyarakat setempat.

Tiada salah guru kembali aktif berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional.

Soal kebimbangan guru mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa apabila terlibat dalam politik sebenarnya tidak timbul kerana kita yakin mereka boleh menguruskan masa dengan baik.

Kita tidak nafikan pada masa sekarang pun, ada guru secara senyap-senyap terbabit dalam politik. Daripada mereka melakukannya secara rahsia, lebih baik kerajaan memberikan kebenaran.

Kepada guru yang ingin bergiat aktif dalam politik, mereka dinasihatkan sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.

Guru bebas untuk menyertai mana-mana parti politik, tetapi mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Sekiranya ada guru yang taksub kepada mana-mana parti politik, janganlah mereka bawa sentimen atau emosi ke dalam kelas dan kawasan sekolah.

Jika hal-ehwal perjuangan parti politik dibawa ke sekolah, dibimbangi perpecahan dalam masyarakat negara ini bertambah buruk.

Sebaliknya, golongan guru diharap menggunakan kepakaran mereka untuk memimpin semula anak muda memahami perjuangan agama, bangsa dan negara, selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak.

Apa pun pemansuhan larangan guru siswazah berpolitik perlu disertai kawalan bagi memastikan kelonggaran itu tidak disalah guna. Syarat-syarat ketat perlu guru patuhi supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Pun begitu, kita sokong kebenaran berpolitik itu membabitkan guru gred DG41 hingga DG48 iaitu guru siswazah biasa. Jika ia membabitkan guru yang berada pada gred lebih tinggi dikhuatiri beban tugas mungkin terjejas dengan aktiviti tambahan di luar sekolah.

Dengan kebenaran ini juga kita mengharapkan guru terbabit mampu memberi sumbangan dalam menjalankan dua tanggungjawab serentak. Kepada guru yang bercadang menyertai parti politik, bijaklah mengurus masa dan tenaga supaya tidak wujud sebarang konflik yang akhirnya menjejaskan tumpuan hingga mengabaikan tugas hakiki yang sepatutnya diberi keutamaan.

Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2010

Guru aktif politik perlu profesional

Oleh Azrina Ahzan, Sazarina Shahrim, Haspaizi Mohd Zain dan Zanariah Abd Mutalib

2010/07/28

PUTRAJAYA: Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang ingin bergiat aktif dalam parti politik diminta bersikap profesional dengan menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mendidik dan menjadikan politik sebagai tugas sampingan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pihaknya menerima keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan gred berkenaan terbabit dalam politik dengan perasaan berbelah-bahagi.

Sebelum ini, walaupun kerajaan menghalang guru daripada terbabit dalam politik sudah berlaku pelbagai masalah di sekolah akibat perbezaan pandangan guru dalam politik.
Jadi kita khuatir kebenaran untuk guru berpolitik ini akan memburukkan keadaan kecuali guru terbabit mampu bersikap profesional dan meninggalkan parti politik yang dianggotai di pintu pagar sekolah, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam kenyataannya bagaimanapun, berkata kebenaran itu juga tidak membabitkan Pengetua dan Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan.

Hashim turut menyatakan kebimbangannya mengenai kuasa mutlak yang diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk mengeluarkan kelulusan bertulis kepada pegawai perkhidmatan pendidikan terbabit kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati individu yang gagal memperoleh kebenaran terbabit.
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang gagal mendapat kebenaran bertulis
mungkin menggunakan saluran politik untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka dan ini boleh menjejaskan kewibawaan KSU kementerian yang boleh dianggap bersikap pilih kasih atau diskriminasi terhadap mana-mana parti politik, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Anuar Ibrahim, berkata keputusan itu amat tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada guru untuk berkongsi pandangan mereka dalam bidang politik.

Beliau yang juga bekas Presiden NUTP berkata, keputusan menyekat pegawai terbabit menyebabkan banyak maklumat pada peringkat akar umbi gagal disalurkan ke peringkat tertinggi kerana ketiadaan saluran.

Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata guru yang ingin berpolitik perlu bijak membahagikan masa antara tugas sebagai pendidik dan politik.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah negara, politik digerakkan oleh guru kerana golongan ini mengutamakan bakti kepada negara serta perkhidmatan mereka sebagai pendidik.

Justeru, langkah ini boleh digalakkan tetapi pada masa sekarang yang mana politik dicemarkan dengan wang, mesti ada suatu penilaian kepada mereka ini untuk berpolitik. Kita takut nanti dia ada mahu berjaya dalam politik sehingga mengabaikan tugas sebagai pendidik, katanya.

Berita Harian Online: 28 Julai 2010

Sidang meja bulat mahu UPSR, PMR ditambah baik

Oleh Sazarina Shahrim

2010/07/28

PUTRAJAYA: Kebanyakan peserta yang hadir dalam perbincangan meja bulat kedua mengenai pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semalam, mahu kedua-dua peperiksaan itu dikekalkan, tetapi perlu penambahbaikan.

Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata sistem dua peperiksaan itu perlu diubah bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.

"Peperiksaan perlu ada untuk menilai apa yang diajar sebelum ini, tetapi bagaimana peperiksaan itu perlu dibuat perlu dibincang dan diberi perhatian.
"Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru," katanya selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, di sini, semalam.

Alimuddin bagaimanapun enggan memberi komen dan ulasan kepada pemberita yang menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Perbincangan meja bulat kedua itu berlangsung kira-kira empat jam dan dihadiri 75 peserta di kalangan tokoh pendidikan, wakil parti politik, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Kementerian mengadakan dua rundingan meja bulat bagi membincangkan cadangan pemansuhan dan rumusannya akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal bulan depan.
Ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga pakar rujuk Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata kedua-dua peperiksaan itu perlu dikekalkan, tetapi pendekatan dan fungsi serta tujuannya perlu diubah.

"Dua peperiksaan ini sekarang berorientasikan peperiksaan rujukan norma untuk pemilihan dan perlu diubah kepada peperiksaan untuk menaksir prestasi pelajar berasaskan kriteria dan standard iaitu untuk menaksir sejauh mana pelajar menguasai pelajarannya dan mencapai tahap ditentukan.

"Jika dimansuhkan UPSR dan PMR, ia akan terlalu lewat untuk menaksir dan memantau taraf kualiti pendidikan di negara ini serta terlalu lewat untuk memberi peluang pelajar memperbaiki pembelajaran," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri Prof T Marimuthu, berkata kedua-dua peperiksaan khasnya UPSR perlu dikekalkan untuk menilai produktiviti sekolah dan pelajar di negara ini.

"Kita seharusnya memperbaiki sistem penilaian sedia ada dan memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR.

"Kementerian tidak wajar membuat keputusan tergesa-gesa memansuhkan UPSR, sebaliknya perlu mengumumkan formula alternatif dan mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat secara menyeluruh.

Berita Harian Online: 28 Julai 2010

Pemilihan guru cemerlang dilakukan secara profesional

2010/07/28

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan Guru Lama daripada Perak dalam ruangan ini bertarikh 19 Julai lalu bertajuk ‘Nazir wajar pantau guru cemerlang percuma’.

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) adalah bahagian di Kementerian Pelajaran yang diberi mandat mentadbir urus segala hal pemilihan dan penilaian calon guru cemerlang.

Tugas ini adalah selaras dengan fungsi JNJK iaitu sebagai bahagian yang bertanggungjawab bagi memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan.
Dakwaan Guru Lama bahawa proses penilaian guru cemerlang pada tahun lalu hanya berdasarkan borang semata-mata serta sokongan pengetua tanpa pemantauan daripada mana-mana pihak adalah tidak benar.

Setiap borang permohonan yang dikemukakan kepada JNJK akan melalui dua proses saringan. Semua borang permohonan juga akan disemak secara teliti oleh Jawatankuasa Penilaian Guru Cemerlang bagi memastikan calon memenuhi syarat umum dan syarat khusus.

Jawatankuasa ini juga mengambil kira Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tiga tahun berturut-turut serta sumbangan dan aspirasi calon yang dihuraikan dalam bentuk esei.

Hanya permohonan yang memenuhi syarat dan melepasi skor markah yang ditetapkan saja akan melalui proses penilaian yang kedua
Calon yang melepasi proses penilaian pertama dan kedua akan dipertimbang untuk diperaku.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 28 Julai 2010

Hayun kayu depan guru

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/07/28

JASIN: Sekumpulan empat pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah ini bertindak ala samseng dan biadab apabila menyerang dua rakan sekelas mereka walaupun ketika itu seorang guru mengajar.

SAKIT...B Ilamaran (kiri) menunjukkan kecederaan adiknya, Alagendran.
SAKIT...B Ilamaran (kiri) menunjukkan kecederaan adiknya, Alagendran.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi kelmarin, keempat-empat pelajar terbabit yang berusia 17 tahun menyerang mangsa dengan kayu. Bagi mengelak kejadian itu disedari guru lain, seorang lagi pelajar didakwa berada di luar kelas berkenaan bagi mengawasi keadaan.

Lebih biadab, kumpulan pelajar terbabit memaki-hamun guru berusia 50-an itu yang menegur tindakan mereka.

Akibat insiden itu, mangsa, Tan Wei Long, retak tulang tangan kanan manakala rakannya, B Alagendran, cedera di kepala serta badan.

Ketika ditemui, Tan memberitahu, ketika kejadian dia bersama Alagendran duduk di bangku barisan hadapan dalam kelas dan sibuk menyalin kerja rumah mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diberikan guru berkenaan.

Dakwanya, tiba-tiba muncul empat pelajar samseng dikenalinya di hadapan kelas dengan masing-masing memegang kayu.

“Mereka masuk ke kelas dan memukul saya dengan kayu beberapa kali. Saya hanya mampu menahan dengan tangan kanan dan tidak melawan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tan berkata, dalam kekecohan itu, Alagendran cuba membantunya, tetapi rakannya itu dibelasah empat pelajar terbabit

Katanya, apabila melihat keadaan Alagendran semakin lemah, pelajar terbabit berhenti memukul dan memberi amaran kepadanya sambil menegaskan tidak kisah jika dibuang sekolah.

“Ketika itu keadaan kecoh, tiada siapa berani campur tangan. Mereka mencampakkan kayu sebelum beredar. Selepas itu muncul beberapa guru lelaki dan menahan kumpulan pelajar terbabit,” katanya.

Alagendran berkata, dia hampir pitam selepas dipukul keempat-empat pelajar terbabit dan selepas kejadian, dia bersama Tan dibawa guru untuk mendapat rawatan di klinik berhampiran.

“Kami membuat laporan di Balai Polis Merlimau dan Tan pula dirujuk di Hospital Melaka akibat kecederaannya,” kata Alagendran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan mengenai kejadian itu dan lima pelajar ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, semua mereka direman empat hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

“Berdasarkan siasatan, keempat-empat suspek terbabit menyerang rakan sekolahnya itu selepas dipercayai ada kaitan dengan kes salah faham mengenai aduan dibuat dua pelajar terbabit mengenai salah laku mereka yang terbabit pergaduhan,” katanya.

myMetro: 28 Julai 2010

Tindakan biadab

2010/07/28

MELAKA: Tindakan empat pelajar menyerang rakan sekolah di dalam kelas ketika guru mengajar disifatkan perbuatan biadab dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka supaya kejadian sama tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, berkata beliau berharap ibu bapa, Jabatan Pelajaran atau sekolah tidak mempertahankan kesalahan dilakukan empat pelajar terbabit.

Katanya, apa yang mereka lakukan tidak ubah seperti samseng dan biadab kerana tidak menghormati guru serta institusi pelajaran selain sanggup menjadikan tempat mereka belajar sebagai medan bergaduh.

myMetro: 28 Julai 2010

7 rindu sekolah menyamar pelajar

2010/07/28

KUALA LUMPUR: Tujuh pemuda yang rindu alam persekolahan ditahan polis semalam selepas menyamar pelajar di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati di sini, semalam.

Semuanya yang berumur 20 tahun lengkap berpakaian seragam sekolah termasuk seorang berbaju kurung ditahan ketika leka mengikuti pembelajaran dalam kelas, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan.


“Mereka masuk ke sekolah itu kira-kira jam 7.30 pagi dan menyertai perhimpunan pagi sekolah. Selepas tamat perhimpunan, ketujuh-tujuh bekas pelajar itu masuk ke kelas lama masing-masing iaitu kelas mereka ketika tingkatan lima sesi 2007,” katanya.


Kehadiran ‘pelajar baru’ di dalam kelas itu disedari guru yang kemudian menghubungi polis.


“Hasil soal siasat, kami mendapati punca mereka menyamar pelajar sekolah itu atas alasan ingin kembali semula ke alam persekolahan. Mereka duduk dalam keadaan sopan tanpa sedikit pun mengganggu sesi pembelajaran,” kata Abdul Jalil.


Beliau berkata ketujuh-tujuh lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.


“Semua lelaki itu tidak bekerja ataupun belajar. Polis sudah memanggil ibu bapa masing-masing sebelum mereka dibebaskan kira-kira jam 8 malam tadi.


“Polis dalam proses mengambil keterangan guru dan pelajar sekolah itu. Siasatan juga dijalankan sama ada bekas pelajar itu mempunyai niat untuk melakukan jenayah di sekolah berkenaan,” kata Abdul Jalil.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. — Bernama

myMetro: 28 Julai 2010

Selasa, 27 Julai 2010

Bekas guru kurung 71 amah ditahan

2010/07/27

KANGAR: Bekas guru yang juga pemilik kediaman di Taman Perlis, di sini yang diserbu pihak berkuasa selepas didakwa menjadi tempat 71 amah warga asing dikurung, dikatakan kebal daripada sebarang tindakan termasuk oleh pihak berkuasa.

Tanggapan itu dibuat banyak pihak terutama mereka yang pernah berurusan dengan lelaki terbabit, termasuk beberapa penduduk kampung di kawasan sekitar kediaman berkenaan.

Ini termasuk seorang peniaga berusia lingkungan 50-an, mengaku terkejut melihat gambar amahnya terpampang di muka depan akhbar ini semalam, walaupun gadis itu sepatutnya sudah lama dihantar pulang ke negara asal.
Mengulas lanjut, katanya, amah terbabit bermasalah, justeru dia menghantarnya kepada bekas guru berkenaan untuk urusan penghantaran pulang ke negara asal dan wang bagi tujuan itu sudah diberikan.

Saya tidak tahu bagaimana amah itu masih ada di Perlis. Apa yang pasti, dia tidak menghantarnya pulang ke negara asal dan wang yang saya berikan itu mungkin sudah disapunya, katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi serbuan semalam, mendapati kediaman terbabit sunyi dan satu notis tertera Harap Maaf, Cuti Sementara dilihat digantung pada pagar premis berkenaan, dipercayai susulan serbuan dilakukan pihak berkuasa, Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 68 amah diselamatkan Jabatan Imigresen dipercayai dikurung bekas guru berkenaan yang juga pengurus agensi pekerja asing di tingkat atas rumahnya di Taman Perlis sejak dua tahun lalu.

Berita Harian Online: 27 Julai 2010

Isnin, 26 Julai 2010

Pendidikan Islam dan Moral disyor jadi syarat wajib lulus SPM

26/07/2010 5:09pm

KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang ahli Dewan Negara hari ini mengutarakan cadangan supaya mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn berkata, pengetahuan agama dan nilai murni adalah dua perkara penting yang diperlukan untuk meningkatkan kekuatan rohani di kalangan remaja.

Menurutnya, isu sosial adalah masalah besar yang dialami negara-negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat sekalipun, dan beliau memberi contoh jumlah kes pembuangan bayi yang tinggi di negara berkenaan, meskipun ia mempunyai undang-undang yang khusus berkaitan kesalahan itu.

"Isu keruntuhan moral perlu diubati dengan input pembaikan sahsiah dan moral,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam kes-kes pembuangan bayi adalah terdiri daripada golongan remaja yang berpendidikan tinggi dan juga lulusan universiti.

Nor Hayati berkata, walaupun berpelajaran, mereka tidak mempunyai kekuatan rohani yang tinggi untuk melawan nafsu jahat dalam diri.

"Masyarakat berilmu tanpa nilai moral yang tinggi tidak akan menjamin negara akan bebas daripada perkara-perkara yang keji,” katanya. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2010

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau



SEKOLAH akan dikelompokkan mengikut prestasi bagi membolehkan apa sahaja inisiatif di bawah program penambahbaikan sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. - Gambar hiasan


KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.

Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.

Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.

Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.

Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.

Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:

1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.

2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.

3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.

Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.

Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.

Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.

Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.

Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.

Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2010