Selasa, 6 Julai 2010

3 pelajar serang rakan kena tindakan disiplin

2010/07/06

KOTA BHARU: Tiga pelajar perempuan yang menyerang seorang rakan persekolahan mereka dalam kejadian di Tumpat Rabu lalu, kini berdepan tindakan disiplin, termasuk boleh dibuang dari sekolah.

Tindakan disiplin itu boleh diambil terhadap mereka oleh pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan itu, yang sudah diarah mengemukakan laporan mengenai kejadian terbabit kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, tiga pelajar berusia 15 dan 17 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN Kelantan, Ismail Wahab, berkata tindakan disiplin diambil selepas pelajar yang terbabit dipanggil oleh pengurusan sekolah dan jawatankuasa disiplin.

"Saya masih menunggu laporan penuh daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat berhubung kes itu. Sebarang tindakan bergantung kepada pengetua SMK Berangan kerana pekeliling mengenai tindakan tatatertib yang boleh diambil terhadap pelajar yang melakukan kesalahan atau melanggar disiplin sudah dikeluarkan," katanya.

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam mengenai tindakan tiga pelajar perempuan yang sepakat membelasah seorang rakan persekolahan ketika pulang dari sekolah, ekoran perselisihan faham yang timbul di antara mereka.

Berita Harian Online: 6 Julai 2010

Tiada ulasan: