Khamis, 8 Julai 2010

KGMMB mahu bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran diperluas

Oleh Basir Zahrom

2010/07/08

BIDANG tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) perlu diperluaskan supaya urusan perjawatan dilaksanakan sepenuhnya bagi memperkasakan profesion perguruan negara.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata SPP perlu diberi kuasa mutlak mengurus tadbir permohonan jawatan guru, perlantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, rayuan kenaikan pangkat, persaraan serta tindakan tatatertib.

Beliau berkata, hal itu terkandung dalam perlembagaan persekutuan perkara 144 (5B) (1) yang semua bidang kuasa itu hendaklah dilaksanakan SPP sepenuhnya.

Bagi melancarkan proses pengurusan pula, Mohamed Sabri berkata, kakitangan sepenuh masa SPP perlu ditambah dengan memberi peluang lebih ramai pegawai daripada gred DG, DH dan DS menganggotainya.

“Selain itu, kebebasan membuat keputusan perlu ada memandangkan agensi ini menjadi rujukan pendidikan selain ahlinya terdiri daripada bekas pegawai perkhidmatan pengalaman dalam bidang pendidikan.

“Pelantikan ahli SPP boleh juga dilantik di kalangan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta pengamal undang-undang. Penyertaan mereka penting dalam membantu menyelesaikan masalah berbangkit secara diplomasi.

“Bagaimanapun, jumlah mereka tidak melebihi bekas pegawai perkhidmatan pendidikan sedia ada,” katanya ketika mengulas usaha memperkasakan SPP yang didakwa peranannya kurang jelas walaupun dalam kalangan pendidik selepas 36 tahun penubuhannya.
Mohamed Sabri berkata, perjumpaan antara SPP dengan warga pendidik seperti yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini dilihat sebagai promosi berterusan menjelaskan fungsinya kepada golongan sasar.

Katanya, perjumpaan itu dianggap berjaya kerana dihadiri sebahagian besar pihak pengurusan tertinggi dua agensi iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pertemuan itu kata beliau, penting untuk membincangkan permasalahan berkaitan pendidikan dalam kalangan guru, pensyarah serta pentadbir yang sekali gus menambah baik perkhidmatan di peringkat masing-masing.

“Diharap perjumpaan itu menjadi titik tolak kepada perubahan seterusnya dalam usaha menyedarkan masyarakat pendidikan mengenai bidang kuasa serta peranan SPP.

“KGMMB juga berharap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menstruktur semula SPP supaya lebih fungsinya lebih menyeluruh dalam menjaga kebajikan warga pendidik.

“Langkah awal perlu diberi perhatian termasuk menyelesaikan beberapa isu penting antaranya berkaitan pengambilan calon guru dan menentukan haluan kerjaya mereka,” katanya.

Berita Harian Online: 8 Julai 2010

Tiada ulasan: