Jumaat, 16 Julai 2010

Diserang nyamuk setiap hari


YIP Siew Lim (tengah) menunjukkan keadaan longkang yang tersumbat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 15 Julai – Para pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 di sini semakin buntu dengan masalah nyamuk yang semakin bertambah di kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Sekolah yang mempunyai pelajar serta kakitangan melebihi 500 orang itu mendakwa terpaksa menangani masalah berkenaan bersendirian kerana ia tidak mendapat perhatian mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mereka berkata, masalah pembiakan nyamuk berkenaan disebabkan projek pembinaan jalan raya yang dilaksanakan di kawasan berdekatan sekolah sehingga menyebabkan mereka terpaksa menderita sehingga kini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Yip Siew Ling berkata, masalah berkenaan bukan sesuatu yang baru dan telah berlarutan tanpa mendapat perhatian daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, masalah berkenaan disyaki berpunca daripada kawasan projek pembangunan yang dilaksanakan pada waktu ini dan bukan dari kawasan sekitar sekolah berkenaan.

“Kita dapati sistem perparitan yang terdapat di kawasan luar sekolah tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan ia tersumbat dan menjadi punca pembiakan nyamuk.

“Jika dilihat, sekolah ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan masalah nyamuk ini hanya berlaku selepas projek pembangunan tersebut dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan luar sekolah berkenaan mendapati, sistem perparitan yang terdapat di kawasan berkenaan tidak berfungsi dengan baik dan terdapat beberapa kawasan takungan air yang menjadi tumpuan pembiakan nyamuk.

Siew Ling berkata, masalah pembiakan nyamuk membuatkan para pelajar serta kakitangan di sini sentiasa berada dalam keadaan tidak selesa.

Beliau berkata, masalah tersebut akan menjadi lebih serius menjelang tengah hari kerana bilangan nyamuk semakin bertambah. Masalah itu diburukkan lagi dengan bau busuk akibat sistem perparitan yang tersumbat di luar kawasan sekolah berkenaan.

“Para pelajar terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli ubat nyamuk elektrik untuk menghalau nyamuk tetapi tidak berhasil.

“Sehingga kini masih belum ada sebarang laporan mengenai pelajar yang menghidap demam denggi tetapi ada antara mereka menghidap penyakit kulit kerana kegatalan akibat digigit nyamuk,” katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Hamidah Mahmud berkata, pihak pengurusan sekolah pernah menghubungi Bahagian Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membantu menangani masalah itu tetapi tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkenan hingga kini.

Beliau berkata, MBJB pernah datang sekali ke kawasan sekolah berkenaan untuk membuat semburan asap April lalu dan kemudian tidak lagi datang untuk tindakan susulan.

“Saya berharap perkara ini dapat ditangani segera kerana para pelajar di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa hampir setiap hari ekoran masalah ini,” katanya.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan menghantar surat aduan kepada MBJB dan salinan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) bagi membantu mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius kerana nyawa para pelajar dan guru sentiasa berada dalam keadaan bahaya.

“Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan sehingga menyebabkan ada antara pelajar dan kakitangan sekolah ini menghidap demam denggi kerana ia boleh membawa maut,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Julai 2010

Tiada ulasan: