Isnin, 5 Julai 2010

Hari Koperasi dan Usahawan

KUALA LUMPUR 4 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, Kampung Baru, menganjurkan majlis sambutan Hari Koperasi dan Usahawan sekolah yang terbesar pernah diadakan sejak ia ditubuhkan pada 1965.

Sebanyak 100 gerai jualan pelbagai jenis makanan, minuman serta barangan terdapat pada majlis itu dan ia turut diserikan lagi dengan persembahan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air iaitu Kumpulan Raihan dan Nowseeheart.

Pengetua Sekolah, Radhiah Muhammad berkata, idea mengadakan Hari Usahawan ini tercetus apabila pihak sekolah tidak dapat merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) “Satu Murid Satu Sukan” kerana kekangan tempat untuk bersukan iaitu gelanggang sekolah terlalu kecil.

“Matlamat mengumpul dana kira-kira RM100,000 untuk menaiktaraf prasarana dan kemudahan fizikal sekolah diharap dapat dicapai dengan penjualan kupon dan jualan semasa sambutan diadakan,” katanya.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan pelajar dalam menjayakan majlis itu amat tinggi malah mereka memberikan pelbagai idea.

“Ada antara pelajar menyarankan supaya artis dipanggil memberikan persembahan, lalu kami menghubungi Kumpulan Raihan dan Nowseeheart yang akhirnya menyatakan persetujuan.

Utusan Malaysia Online: 5 Julai 2010

Tiada ulasan: