Isnin, 26 Julai 2010

Pendidikan Islam dan Moral disyor jadi syarat wajib lulus SPM

26/07/2010 5:09pm

KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang ahli Dewan Negara hari ini mengutarakan cadangan supaya mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn berkata, pengetahuan agama dan nilai murni adalah dua perkara penting yang diperlukan untuk meningkatkan kekuatan rohani di kalangan remaja.

Menurutnya, isu sosial adalah masalah besar yang dialami negara-negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat sekalipun, dan beliau memberi contoh jumlah kes pembuangan bayi yang tinggi di negara berkenaan, meskipun ia mempunyai undang-undang yang khusus berkaitan kesalahan itu.

"Isu keruntuhan moral perlu diubati dengan input pembaikan sahsiah dan moral,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam kes-kes pembuangan bayi adalah terdiri daripada golongan remaja yang berpendidikan tinggi dan juga lulusan universiti.

Nor Hayati berkata, walaupun berpelajaran, mereka tidak mempunyai kekuatan rohani yang tinggi untuk melawan nafsu jahat dalam diri.

"Masyarakat berilmu tanpa nilai moral yang tinggi tidak akan menjamin negara akan bebas daripada perkara-perkara yang keji,” katanya. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2010

Tiada ulasan: