Sabtu, 24 Julai 2010

Kementerian serah siasatan kepada polis

2010/07/24

KUALA LUMPUR: “Kementerian Pelajaran menyerahkan kes berkenaan kepada polis kerana saya dimaklumkan kes ini sudah menjadi kes polis,” kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut berhubung kes itu.


“Ia sudah menjadi kes polis dan biar mereka (polis) menjalankan siasatan. Malah, kita bersedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya mereka memerlukan bantuan kementerian untuk melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam apabila lima murid lelaki tahun tiga di sebuah sekolah di Simunjan, Sarawak terpaksa menahan kesakitan di dubur masing-masing selepas mendakwa dicucuk dengan kayu penyapu oleh ustaz mereka disebabkan gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan. Dalam perkembangan sama, Alimuddin turut mengulas mengenai dakwaan bapa kepada salah seorang pelajar sebuah sekolah menengah di ibu negara bahawa sekolah berkenaan mengenakan ‘tol’ RM1 sebagai denda ke atas pelajar yang lewat ke sekolah menerusi ruangan iM Lapor akhbar ini kelmarin.


“Saya sudah menerima laporan daripada sekolah berkenaan dan sudah pun mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan memastikan perkara atau pungutan sebegini tidak dibuat atau dilakukan pada masa akan datang,” katanya.

myMetro: 24 Julai 2010

Tiada ulasan: