Sabtu, 3 Julai 2010

Skim insurans baru NUTP

2010/07/03

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam melancarkan satu lagi skim insurans untuk 160,000 anggotanya yang memberi perlindungan sehingga umur 75 tahun.

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata skim ‘Livin Pay Plus’ yang diperkenalkan dengan kerjasama Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad itu adalah pembaharuan kepada skim insurans sedia ada di bawah NUTP.


“Selain meningkatkan tempoh perlindungan daripada 65 tahun kepada 75 tahun, ia turut menawarkan faedah kepada pasangan dan anak ahli. Anak-anak ahli juga boleh menyertai skim ini sehingga umur mereka 75 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran skim itu, di sini semalam.


Majlis dirasmikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Datuk Zulkifly Mohd Wazir. Hashim berkata pengenalan skim tersebut merupakan salah satu langkah bagi menyahut saranan anggota agar menambahkan produk insurans, selain meneruskan usaha NUTP untuk menjaga kebajikan anggotanya.


Terdapat lapan premium yang ditawarkan bermula dengan nilai serendah RM44 hingga RM262 yang boleh dibayar melalui potongan gaji, selain Unit Dana yang membolehkan pemegang skim mengeluarkan wang untuk kegunaan pada waktu kecemasan.


Antara keistimewaan skim ini ialah premium yang sama untuk semua peringkat umur selain merangkumi perlindungan terhadap 36 penyakit kritikal termasuk serangan jantung, strok, kanser dan lumpuh. - Bernama

myMetro: 3 Julai 2010

Tiada ulasan: