Rabu, 14 Julai 2010

Tokoh Guru cetus idea penubuhan Koguwam


Wan Safinah Salleh (tengah) bersama kakitangannya di hadapan pejabat Koguwam di Pintu Geng, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 13 Julai - Apa yang perlu dibuat selepas bersara? Adakah perlu meneruskan aktiviti yang sebelum ini dilakukan ketika di alam pekerjaan atau berehat sahaja.

Itu merupakan persoalan wajib yang pastinya bermain di fikiran setiap individu yang akan bersara.

Bagi Datin Paduka Wan Safinah Salleh, 67, walaupun sudah berkhidmat sebagai guru sejak dari zaman remaja, beliau ternyata warga emas contoh yang tidak suka berdiam diri.

Pada pandangan beliau, persaraan bukan noktah untuk terus menabur bakti kepada masyarakat sekeliling terutama di kalangan warga pendidik sendiri khususnya guru-guru wanita.

"Sebaik bersara pada 2000, saya selalu berfikir apa sebenarnya yang boleh saya lakukan sebagai sumbangan kepada guru wanita.

"Selama berpuluh tahun dalam perkhidmatan pendidikan saya tahu saya mesti lakukan sesuatu dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada," katanya dalam satu pertemuan di sini, baru-baru ini.

Pada tahun persaraan sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pendek di sini, beliau mengemukakan idea untuk menubuhkan sebuah koperasi guru wanita kepada seorang rakan yang juga bekas Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Siti Aishah Ab. Rahman, 66.

Katanya, Siti Aishah memberitahu dia tiada pengetahuan langsung mengenai penubuhan dan pengurusan koperasi.

"Saya katakan kepadanya tidak mengapa, asalkan dia sanggup menyokong saya," ujarnya.

Wan Safinah berkeyakinan tinggi bahawa idea penubuhan sebuah koperasi adalah sesuatu yang praktikal untuk dijalankan.

Tambahan pula, beliau juga mendapat sokongan penuh daripada suaminya iaitu bekas Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Datuk Paduka Muhammad Mustapha, 65, yang pernah menjadi antara tonggak utama beberapa koperasi tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa.

Malah, Wan Safinah sendiri merupakan satu-satunya Ahli Lembaga Koperasi (ALK) wanita dalam Koperasi Guru-Guru DTC Malaysia Berhad sejak 1972 selain menjadi ALK Koperasi Sri Nilam Berhad dan Koperasi Gertak Lembu, Salor sehingga hari ini.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Kelantan dan menjadi Pengerusi Wanita Angkasa peringkat negeri.

Bersama seorang lagi rakan, Rahmah Hussain, 71, iaitu bekas Pengetua Maktab Perguruan Kota Bharu (MPKB), beliau tekad untuk memulakan Koperasi Guru-guru Wanita Melayu Malaysia atau nama ringkasnya Koguwam.

Wan Safinah memegang amanah sebagai pengerusi dengan dibantu Siti Aishah sebagai naib pengerusi dan Rahmah sebagai setiausaha.

Istimewanya, ketiga-tiga wanita itu adalah penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan iaitu Rahmah pada 1999, Siti Aishah (2001) dan Wan Safinah (2004)

Wan Safinah berkata, koperasi itu yang mempunyai lebih 900 ahli juga turut dibuka kepada kakitangan wanita yang terlibat dalam bidang pendidikan daripada kerani sekolah hingga pegawai di Kementerian Pelajaran sama ada yang masih berkhidmat ataupun sudah pencen.

Bermula dengan aset sebanyak RM50,000 pada 2000, Koguwam kini memiliki aset lebih daripada RM1 juta dan menjalankan pelbagai jenis kegiatan bagi menjana ekonomi antaranya khidmat pinjaman kepada ahli, mengurus sebuah pusat jagaan harian dan membekal peralatan sekolah.

"Koguwam berupaya memberi pinjaman sehingga RM30,000 kepada ahli yang boleh diluluskan serta-merta sekiranya memenuhi syarat.

"Khidmat pinjaman adalah satu mekanisme penting hari ini untuk membantu mereka yang kesempitan wang misalnya semasa mahu menghantar anak belajar ke luar negara.

"Kaedah pembayaran terjamin kerana ia melalui Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA) dengan faedah hanya enam peratus setahun," katanya.

Wan Safinah berkata, manfaat lain yang boleh didapati menerusi koperasi tersebut adalah tabung kebajikan yang disediakan untuk membantu ahli yang dalam kesusahan.

"Setiap bulan kita kutip RM20 daripada ahli untuk perjalanan koperasi manakala RM5 pula untuk tabung kebajikan.

"Dengan adanya tabung ini, ahli yang kematian suami serta anak dan ibu bapa bagi yang belum berkahwin boleh membuat tuntutan dari RM200 hingga RM1,000.

"Selain bantuan untuk melanjutkan pelajaran, tuntutan juga boleh dibuat bagi setiap hari ahli, suami atau anak mereka dimasukkan ke wad hospital," katanya.

Pejabat Koguwam yang beroperasi di sebuah rumah sewa dua tingkat di Taman Guru, Pintu Geng dekat sini bukan sahaja menjadi tempat pertemuan ahli setiap bulan tetapi ia juga menempatkan pusat jagaan harian atau Taman Cahaya Mata (TCM) sejak 2005.

Wan Safinah berkata, pusat jagaan yang menerima kanak-kanak berusia antara dua bulan sehingga empat tahun itu berhasrat untuk membuka pintu kepada orang kurang upaya (OKU) dan juga orang tua pada masa hadapan.

Jelasnya, pihak koperasi sudah membeli bangunan sendiri di Taman Tengku Ahmad Rithaudden di Melor yang akan dijadikan sebuah lagi pusat jagaan dan dijangka mula beroperasi hujung tahun ini.

Utusan Malaysia Online: 14 Julai 2010

Tiada ulasan: