Selasa, 6 Julai 2010

Prasekolah

Oleh Rusnita Pechok

2010/07/06

Insentif kepada pusat tuisyen tingkat peralatan pendidikan luar bandar

PEMBERIAN insentif kepada swasta termasuk pusat tuisyen untuk menyediakan program prasekolah membantu meluaskan aktiviti berkenaan terutama ke kawasan luar bandar.

Tokoh akademik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata inisiatif itu sekali gus meningkatkan jumlah penyertaan kanak-kanak mengikuti program pendidikan asas sebelum memulakan sesi persekolahan secara rasmi.

Beliau berkata, peruntukkan itu menyumbang kepada usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan dengan menyediakan program pendidikan pada awal usia seseorang individu.

“Pemberian ini menyuntik semangat swasta untuk terus aktif menawarkan program pendidikan awal pengembangan kanak-kanak berkualiti kepada golongan sasar,” katanya ketika mengulas insentif kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) menyediakan RM10,000 kepada swasta untuk tujuan itu.

Abdul Rahman berkata, penyediaan pendidikan prasekolah adalah tanggungjawab berat dan perlu dilaksanakan secara sistematik. Program awal itu adalah proses pembelajaran yang sangat penting dalam membentuk kanak-kanak supaya mencintai ilmu.

Bagaimanapun, beliau berkata, segala aspek perlu diberi perhatian bagi memastikan tanggungjawab sosial itu dilaksanakan dengan sempurna bukan berorientasikan keuntungan semata-mata.

Katanya, kerajaan perlu mengkaji insentif itu di samping mengadakan langkah tertentu memastikan pengisian program prasekolah lebih seimbang.
“Jurang perbezaan antara kanak-kanak di bandar dan luar bandar perlu didekatkan supaya mereka dapat menikmati kemudahan pendidikan berkualiti hasil pembangunan dan kemajuan negara.

“Pemantauan berterusan membantu kanak-kanak luar bandar menerima pendidikan pada usia muda. Persediaan awal membantu mereka untuk lebih bersedia sebaik memulakan sistem pendidikan formal,” katanya.

Abdul Rahman berkata, jika dilihat kebiasaan kini, kurikulum prasekolah kerajaan hanya untuk pembelajaran setahun berbanding prasekolah swasta yang memulakan sesi pembelajaran seawal usia empat tahun.

Selain itu, katanya bagi memastikan pembelajaran peringkat asas itu berlangsung dengan sempurna, guru juga perlu benar-benar layak dan terdidik khusus bagi mengajar prasekolah.

“Elemen penting dalam proses ini ialah memupuk semangat sayangkan sekolah di kalangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia, Jayawathi Perera, berkata insentif itu memberi peluang tadika sedia ada meningkatkan kemudahan terutama peralatan pembelajaran.

Katanya, insentif itu juga boleh dimanfaatkan dengan menghantar guru menjalani kursus bagi meningkatkan kemahiran dan memperkasakan pedagogi.
“Tadika di bawah persatuan mengguna pakai kurikulum sama prasekolah kerajaan. Jadi, proses pembelajaran tidak banyak berbeza.

“Sukatan pelajarannya tidak banyak berbeza, bagaimanapun proses pembelajaran ini tidak boleh diselesaikan dalam tempoh satu tahun,” katanya.

Mengulas kemungkinan ada pusat tuisyen bercadang mengembangkan operasinya dengan menubuhkan prasekolah bagi mendapatkan insentif itu, Jayawathi berkata, jika mereka ingin berbuat demikian, pastikan tenaga pengajar mendapat latihan mencukupi selain mengguna pakai modul ditetapkan.

Berita Harian Online: 6 Julai 2010

Tiada ulasan: