Sabtu, 31 Julai 2010

Isu gengsterisme perlu dilihat secara holistik

2010/07/31

KUALA LUMPUR: Isu gengsterisme membabitkan pelajar perlu dilihat secara holistik bagi mengenal pasti sama ada masalah itu berpunca dari sekolah atau elemen luar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini kerana wujud kecenderungan untuk mengaitkan perbuatan remaja di luar kawasan sekolah dengan status mereka sebagai pelajar.

“Memang semua anak muda pada peringkat umur tertentu adalah pelajar sekolah, tetapi kita perlu melihat apa yang mendorong perlakuan mereka itu (gengsterisme)... mungkin ada kaitan dengan persekitaran mereka di luar sekolah,” katanya selepas majlis meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia ke Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini, semalam. Pada 26 Julai lalu, tiga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Permai di Ampang, cedera apabila dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai anggota kongsi gelap di depan sekolah mereka kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mahu pulang, apabila enggan menyerahkan sejumlah wang yang diminta kumpulan itu.

Akhbar semalam pula melaporkan polis mengenal pasti tujuh lelaki anggota kumpulan kongsi gelap berusia 25 hingga 30 tahun yang bergiat aktif merekrut pelajar sekolah untuk menjadi ahli kumpulan mereka di sekitar Ampang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong ketika dihubungi Berita Harian meminta semua pengetua mengambil tindakan proaktif bagi mengekang sebarang anasir yang membahayakan keselamatan pelajar atau mengganggu ketenteraman sekolah.

Sekiranya dikesan wujud gejala sedemikian, beliau menegaskan, laporan polis perlu dibuat segera melalui pegawai perhubungan polis yang sudah dilantik untuk setiap sekolah.

“Pada masa sama, pihak sekolah juga perlu memantau persekitaran di luar pagar sekolah demi memastikan keselamatan pelajar. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran memberi amaran bahawa tindakan tegas, termasuk boleh dibuang sekolah, akan diambil terhadap pelajar yang terbabit anasir jahat seperti kegiatan kongsi gelap,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pula menggesa polis segera bertindak menggempur kawasan panas kumpulan kongsi gelap yang dikenal pasti menjadikan pelajar sebagai sasaran rekrut baru kerana gejala itu dikhuatiri akan menjadi `duri dalam daging’ kepada sistem pendidikan negara.

“Ibu bapa semakin cemas dengan gejala yang amat membimbangkan ini kerana seolah-olah keselamatan pelajar sekolah tidak terjamin. Langkah `pemutihan’ kawasan panas itu perlu dilakukan dan pelajar terbabit harus dibantu dengan program pemulihan.

“Kerjasama bersepadu untuk membanterasnya amat penting, malah polis yang berkepakaran menangani jenayah wajar memberi pendedahan kemahiran asas kepada guru bagi mengenal pasti kewujudan gejala samseng di kalangan pelajar sekolah mereka,” katanya.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Kamarudin Md Ali, berpendapat beberapa kakitangan, terutama guru disiplin di sekolah yang dikenal pasti dalam kawasan panas kumpulan kongsi gelap, wajar dilatih sebagai polis sukarelawan untuk membantu menangani gejala gengsterisme yang membabitkan pelajar.

Berita Harian Online: 31 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya bersetuju dengan TPM bahawa isu gangsterisme di sekolah perlu dilihat secara holistik.Dan sebenarnya isu-isu disiplin sekolah perlu penelitian yang mendalam.Guru disiplin tidak harus mengambil tindakan sewenang-wenangnya.Misalnya jika seorang pelajar berpakaian seluar sempit, baju sempit,tepi baju koyak dan sebagainya.Semua itu kena selidik sedalam-dalamnya. kenapa dan bagaimana terkoyak.Jadi kalau ada guru disiplin mengenakankan denda dengan menyuruh pelajar membuka seluar sempit dan diganti dengan kain sarung sepanjang hari persekolahan tanpa membuat penyelidikan. Adakah tindakan itu wajar dan memenuhi kehendak seperti dalam Buku Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar???