BARU-baru ini Bajet 2009 diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan setinggi penghargaan diberikan kepada Perdana Menteri kita kerana bajet yang dibentangkan sangat baik dan memberi banyak kemudahan dan mengambil kira semua lapisan masyarakat.
Boleh dikatakan bajet kali ini adalah bajet yang sangat mesra rakyat. Bagi kakitangan kerajaan bonus sebulan gaji akan diberikan bagi menghargai pengorbanan mereka. Semoga dengan pemberian bonus itu, kakitangan kerajaan akan lebih produktif dan berkesan dalam memberikan perkhidmatan.
Kakitangan kerajaan juga akan sentiasa memberi sokongan kepada segala program kerajaan. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi banyak kemudahan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Misalnya, elaun murid OKU dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 iaitu peningkatan 300 peratus. Elaun bagi pembantu pengurusan murid (PPM) RM200 diperkenalkan dalam bajet kali ini.
Ini membuktikan kerajaan mengambil berat kebajikan golongan OKU. Kami sangat mengharapkan agar kerajaan memberi elaun sama kepada guru yang mengajar murid pemulihan pada masa akan datang. Sebenarnya elaun ini sudah lama dimohon, namun sehingga kini ia masih belum lagi diberikan.
Elaun Pembantu Pengurusan Murid adalah sesuatu yang amat tepat sekali. Namun, saya rasa satu mekanisme perlu disediakan agar pemberian elaun ini memberi kesan maksimum kepada mereka. Jawatan PPM di kelas pendidikan khas adalah jawatan baru dan boleh dikatakan mereka tiada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang pengurusan pendidikan khas.
Mereka juga didapati tidak mengetahui jenis ketidakupayaan dan kategori OKU murid yang ada di kelas pendidikan khas. Tanpa pengetahuan ini, ia akan menjejaskan perkhidmatan diberikan. Saya rasa semua PPM harus diberikan kursus mengenai cara mengendalikan murid pendidikan khas supaya khidmat diberikan menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Visi dan Misi pendidikan Khas Negara.
PPM perlu diberikan kursus agar boleh membantu dengan baik seperti membuat bahan bantu mengajar, membuat stok, sedikit kerja pekeranian dan kemahiran ICT. Mereka juga harus diberikan kursus asas pendidikan khas (Pengenalan Pendidikan Khas), psikologi pendidikan khas dan keselamatan.
Saya percaya selepas melalui kursus ini mereka akan lebih berkesan dan faham hala tuju pendidikan khas negara. Selepas mereka tamat kursus selama lima hari, barulah elaun itu diberikan. Sebenarnya guru yang mengajar di kelas pendidikan khas hanya layak menerima elaun selepas menghadiri kursus selama lima hari mengenai pendidikan khas.
Saya rasa syarat yang sama juga boleh digunakan dalam pemberian elaun PPM ini. Kursus kepada PPM boleh disediakan oleh institusi yang berwibawa seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang pendidikan khas.
Melaka.
Berita Harian Online: 1 September 2008
1 ulasan:
MENGAPA PPM SAHAJA PERLU DITEKAN DENGAN KURSUS, TIDAK PULA KEPADA GRED YANG LEBIH TINGGI, ELAUN JUSA...PERLU PERGI KURSUS? PPM JAWATAN BARU, JADI AKAN DATANG BANYAKLAH KURSUS-KURSUS YANG AKAN DIANJURKAN OLEH KPM. HARAP SEMUA DAPAT TENGOK SECARA MENYELURUH DAN IKSLAS. SEKIAN. T.K.
Catat Ulasan