Ahad, 4 Julai 2010

283 sekolah fizikal paling teruk

POKOK SENA - Sejumlah 283 buah sekolah atau tiga peratus daripada 9,462 sekolah di negara ini memiliki kemudahan fizikal paling teruk dengan sebahagian besarnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, data itu diperoleh melalui pengauditan kemudahan fizikal sekolah-sekolah yang dibuat jawatankuasa khas Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Katanya, pengauditan atas arahan Menteri Pelajaran itu bagi mengenal pasti tiga perkara utama iaitu memastikan peralatan termasuk kerusi serta meja mencukupi, keadaan fizikal sekolah dan kemudahan sekolah berada dalam keadaan yang sepatutnya.

"Pengauditan ini berdasarkan kepada Sistem Maklumat Pengurusan Pelajaran (EMIS) bagi mengenal pasti kedudukan sesebuah sekolah kepada empat kategori utama iaitu baik, sederhana, teruk dan sangat teruk.

"Keadaan teruk termasuk tidak ada dinding yang memisahkan antara kelas dan pengauditan ini melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah bantuan modal, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah agama negeri," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena di sini semalam.

Kosmo Online: 4 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah dan terima kasih pihak-pihak yang berani mendedahkan kepincangan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.Tahniah juga kepada kepimpinan Kementerian Pelajaran Malaysia yang diketuai oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dan Timbalan-Timbalan beliau kerana sanggup meredah hutan rimba di Sabah semata-mata ingin mengetahui kebenaran laporan demi laporan daripada Jabatan Pelajaran Sabah, YB-YB, dan orang-orang tertentu secara langsung tentang kepincangan-kepincangan beberapa sekolah di kawasan luar bandar khususnya di pedalaman Sabah.
Sekurang-kurangnya orang-orang yang selama ini menafikan masalah-masalah yang dilaporkan bertahun-tahun lamanya dapat merasakan bahangnya dan panas juga telinga mereka apabila selama ini antara prasarana sekolah-sekolah di Semenanjung dengan di Sabah dan Sarawak seperti langit dan bumi.
Bayangkan ada lagi rumah-rumah guru di Sabah yang dibuat tahun 60an masih didiami oleh guru di luar bandar sebaliknya guru-guru di bandar dan kawasan pinggir bandar tinggal di rumah bungalow.