Khamis, 8 Julai 2010

Pemansuhan UPSR, PMR beri kesan industri tuisyen

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/07/08

Penggiat sektor pendidikan rayu kementerian kaji mendalam

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) didakwa akan memberi kesan kepada industri tuisyen serta penerbitan buku ulang kaji yang bernilai jutaan ringgit.

Selain menjejaskan operasi syarikat atau pusat terbabit dalam industri berkenaan, keputusan itu sekiranya diambil oleh Kementerian Pelajaran akan turut menutup `periuk nasi ramai tutor sepenuh masa dan sebilangan besar guru yang menawarkan khidmat tuisyen secara sambilan bagi menampung pendapatan mereka yang tidak mencukupi.

Seorang perunding pendidikan yang terbabit dalam rangkaian perniagaan menyediakan khidmat tutor dan menguruskan pendaftaran lesen bagi pusat tuisyen, mengakui kebimbangan memang ketara sedang melanda industri berkaitan berikutan cadangan kementerian untuk memansuhkan UPSR serta PMR.

Perniagaan dalam industri pendidikan ini adalah amat besar dan saling berangkai dengan membabitkan banyak pihak. Cadangan itu bukan saja akan memberi kesan terhadap pihak syarikat, tutor dan guru, malah rezeki penulis buku ulang kaji atau soalan latihan bagi peperiksaan berkenaan juga terjejas.

Bagaimana pula dengan timbunan stok buku ulang kaji UPSR dan PMR yang sedia ada dalam pasaran sekiranya cadangan itu dilaksanakan serta-merta atau dalam waktu terdekat?

Justeru, kami selaku penggiat dalam sektor industri ini amat berharap supaya semua pihak yang menyertai perbincangan meja bulat diadakan Kementerian Pelajaran tidak lama lagi, akan meneliti dan menimbang secara mendalam dari setiap aspek sebelum menetapkan sebarang keputusan muktamad, kata perunding itu yang enggan namanya didedahkan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Pelajaran akan mencadangkan UPSR dan PMR dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.
Berikutan itu, kementerian akan mengadakan rundingan meja bulat pada 19 dan 27 Julai ini bagi membincangkan cadangan berkenaan di mana rumusannya akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, awal bulan depan.

Laporan akhbar Oktober lalu memetik Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sebagai berkata, seramai 202,327 pelajar mengikuti tuisyen untuk UPSR, PMR, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di 2,487 pusat tuisyen berdaftar pada 2008.

Seterusnya, perunding itu mendakwa, ramai ibu bapa yang berjumpa dengannya turut membantah cadangan berkenaan kerana menyifatkan dua peperiksaan awam terbabit secara tidak langsung berperanan mendidik sikap anak mereka untuk lebih berdisiplin dan bekerja keras dalam pembelajaran demi mencapai kecemerlangan.

Tambahan pula, sistem pendidikan negara sudah terbukti berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dan berkualiti tinggi selama ini, malah sebilangan daripadanya sudah pun menjadi tokoh atau pemimpin disegani dalam sektor masing-masing, katanya.

Berita Harian Online: 8 Julai 2010

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

RISAU NAMPAKNYA PENGUSAHA dan GURU PUSAT TUISYEN, GROUP MOTIVASI.....habislah pendapatan sampingan mereka. MANSUHKAN UPSR...........pedulikan pusat tuisyen

Tanpa Nama berkata...

Saya merayu kepada Ketua Pengarah Pelajaran supaya membuat keputusan yang bijak demi masa depan pelajar dan bukan memikirkan periuk nasi sesiapa atau atas kepentingan politik dan masa depan orang lain.

Tanpa Nama berkata...

Dimansuhkan atau tidak UPSR dan PMR adalah atas pertimbangan semata-mata kerana masa depan pelajar yang lebih cerah. Bukan memikirkan untung rugi taukeh buku,pemilik tuisyen, orang politk atau keuntungan peribadi...TETAPI SEMATA-MATA KERANA MURID!!!!!!.....

Kalau hendak fikir taukeh buku bangkrap, pemilik tuisyen rugi, dan orng-orang berkepentingan susah hati tetapi KEPENTINGAN MURID DIABAIKAN lebih baik kedua-dua peperiksaan ini dikekalkan..FAHAM SEMUA..

Tanpa Nama berkata...

BUKAN bermakna bila UPSR dimansuhkan, murid diabaikan. CUma penekanan kpd mengahafal dpt dikurangkan.
Selama ini pun lihatlah...apa realiti di sekolah. Ada GB yg minta tlg pengawas UPSR bantu calon semata-mata kerana ditekan oleh PPD dan JPN. Akhirnya, murid lemah pun dpt juga keputusan yg baik.
Siapa yg rugi???? budak-budak tu jugak bila ke S.Menengah.

Saya rasa mansuh UPSR lebih baik walaupun mengekalkannya juga ada kebaikan.

Tanpa Nama berkata...

pendapat sy, biar upsr sj yg dimansuhkan..kerana sy kasihan melihat budak2 pada usia mentah sudah ditekan utuk cemerlang dlm pelajaran mereka, sedangkan pada umur itu mereka belum faham halatuju masing2. Manakala pmr pula penting utk menetukan aliran murid ke ting.4 (sastera/sains) dan sbg platform utk menempatkan diri di skolah2 terpilih, misalnya sek b'asrama penuh. sy berharap pihak kementerian dpt menyelesaikan isu ini sebaik mungkin dan mencapai kata putus secepat yg mungkin..