Isnin, 1 Disember 2008

550 sekolah rendah sertai program perintis

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Projek tahun pertama diteliti sebelum diperluas ke seluruh negaraKUALA LUMPUR: Sebanyak 550 sekolah rendah di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar akan dijadikan sekolah perintis pelaksanaan program pembelajaran lebih menyeluruh kepada murid sekolah rendah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata sebagai permulaan, projek perintis berkenaan dilaksanakan di 50 sekolah rendah mulai sesi persekolahan tahun ini yang hanya membabitkan murid Tahun Satu.

Katanya, tahun depan pula, kementerian akan menjalankan projek perintis berkenaan di 500 lagi sekolah rendah juga terhad kepada murid Tahun Satu yang akan dijadikan penentu sama ada sistem itu sesuai dilaksanakan atau tidak.

"Tempoh ini diambil bagi membolehkan kami meneliti segala aspek sebelum membuat keputusan mengenainya termasuk penerimaan murid dan guru untuk sistem ini. Saya rasa mereka (murid dan guru) pasti tidak mempunyai masalah melalui proses ini.

"Jika tiada masalah, pelaksanaan sistem baru yang membolehkan murid berfikir secara holistik, menyeluruh dan kritikal dapat diperkenalkan di sekolah rendah seluruh negara, mulai 2010 seperti dirancang Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jumlah sekolah bakal dijadikan sekolah perintis pelaksanaan program pembelajaran lebih menyeluruh kepada murid sekolah rendah seperti diumumkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kelmarin.

September lalu, akhbar ini melaporkan sistem baru itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan institusi pengajian tinggi (IPT), markah yang diperoleh murid dari Tahun Satu hingga Enam dikumpul dan dikira bagi menentukan pencapaian sepanjang tempoh itu.

Mengikut perancangan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah keseluruhan yang akan digabungkan dengan empat penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian.

Antara pembaharuan diperkenalkan adalah, semua murid akan menduduki menduduki peperiksaan seragam yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) yang sebelum ini hanya terhad kepada peperiksaan besar seperti UPSR.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa sistem baru itu tidak akan mengganggu proses pembelajaran pelajar lain iaitu mereka di kalangan Tahun Dua hingga Enam.

"Ia kerana menerusi projek perintis, ia terhad kepada murid Tahun Satu. Begitu juga ketika ia hendak dilaksanakan sepenuhnya, ia hanya membabitkan murid Tahun Satu di mana mereka ini akan menjadi kumpulan pertama dinilai menggunakan sistem baru sehingga 2015," katanya.

Berita Harian Online: 1 Disember 2008

Tiada ulasan: