Jumaat, 26 Disember 2008

Tidak adil hanya guru tuisyen kena daftar dengan kementerian

KEBELAKANGAN ini, Kementerian Pelajaran mengambil berat mengenai sebilangan guru yang menjalankan kerja sambilan di luar waktu tugas rasmi.

Baru-baru ini pihak Jabatan Pelajaran Negeri ada mengedarkan surat makluman kepada pihak sekolah agar mendaftarkan diri sekiranya terbabit dengan kerja luar.

Apa yang hendak saya ketengahkan di sini ialah istilah ‘kerja luar’ yang diguna pakai seolah-olah hanya kepada guru yang mengajar tuisyen saja. Bagaimana pula dengan kerja luar lain seperti menjalankan perniagaan, ejen insurans, kontraktor dan pembekal alatan sekolah?

Sebagai contoh bagi mengelak syarikat kontraktor dikesan oleh lembaga hasil bagi mengelak cukai, mereka ini akan menggunakan nama ahli keluarga atau rakan seperti pemilik sesebuah syarikat sedangkan yang menjalankan kerja adalah guru terbabit.

Adalah tidak adil, jika guru tuisyen saja yang perlu mendaftarkan diri. Pendaftaran itu bukan sekadar mengisi borang sebaliknya perlu mendapatkan sokongan dan pengesahan ketua jabatan. Walhal menjadi guru tuisyen lebih baik daripada kerja lain bagi seseorang guru.

Mereka dapat mempertingkatkan teknik pengajaran apabila mengajar pelbagai jenis kelompok pelajar.

Saya harap perkara ini diambil serius oleh pihak Kementerian Pelajaran atau kesatuan guru demi memelihara kebajikan dan keadilan kepada semua guru.

GURU MENUNTUT KEADILAN,
Selangor.

Berita Harian Online: 25 Disember 2008

Tiada ulasan: